Ahad, 17 September 2017 | 2:09pm
MARC Leishman membenam lima birdie untuk mencatat tiga bawah par bagi sekali gus mendahului lima pukulan di depan pemain Australia, Jason Day dan Rickie Fowler pada Kejuaraan BMW. - Foto EPaA
MARC Leishman membenam lima birdie untuk mencatat tiga bawah par bagi sekali gus mendahului lima pukulan di depan pemain Australia, Jason Day dan Rickie Fowler pada Kejuaraan BMW. - Foto EPaA

Leishman dahului pusingan ketiga Kejuaraan BMW

CHICAGO: Marc Leishman membenam lima birdie untuk mencatat tiga bawah par bagi sekali gus mendahului lima pukulan di depan pemain Australia, Jason Day dan Rickie Fowler pada Kejuaraan BMW, di sini.

Leishman memulakan hari saingan pusingan ketiga dengan kelebihan tiga pukulan.

Persembahan mantapnya di Conway Farms membantunya mengumpul 19 bawah par 194 keseluruhan menjelang pusingan akhir kejohanan kedua terakhir dalam siri play-off Piala FedEx Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS).

Day dan Fowler kedua-duanya mencatat satu bawah par 70 bagi 199.

Pemain England, Justin Rose menamatkan pusingan dengan 66 yang meletakkannya di tangga keempat dengan 201 manakala pemain Sepanyol, Jon Rahm merakam 65 untuk mengetuai kelompok tujuh pemain dengan 202.

Leishman melengkapkan pusingannya dengan birdie pada lubang ke-18 par-lima untuk meletakkan dirinya dalam posisi terbaik merangkul kejuaraan ketiga dalam Jelajah PGA AS.

Kejayaan terakhirnya hadir pada kejohanan Jemputan Arnold Palmer tahun ini.

Namun dia gagal di TPC Boston dua minggu lalu selepas berkongsi pendahulu bersama Justin Thomas dan Jordan Spieth menjelang pusingan akhir.

Selepas dua birdie dan dua bogey dalam tujuh lubang pertamanya, Leishman menolak masuk birdie pada lubang kelapan untuk menamatkan sembilan lubang pertama dengan satu bawah par dan meraih dua lagi birdie pada sembilan lubang terakhir ketika pemain lain gagal mencabar.

"Melakukan putt bagus dalam empat pusingan satu cabaran besar," kata Leishman.

"Kebanyakan kejohanan anda beraksi baik tiga pusingan. Mungkin tidak secara berturut-turut. Terlalu mudah melakukan kesilapan di sana. Esok saya cuba untuk mengelakkan perkara itu daripada terjadi.

"Selepas apa yang terjadi di Dell (di Boston), saya mempunyai lebih keazaman untuk memenangi kejohanan ini dan permainan saya juga di tahap terbaik. Saya berasakan lapangan ini sesuai dengan corak permainan saya berbanding di Dell."

Drama pusingan akhir awal pagi esok bukan sekadar menyaksikan usaha Leishman memburu kejuaraan tetapi juga perlumbaan bagi kelompok 30 teratas dalam kedudukan play-off Piala PedEx.

Hanya 30 pemain teratas layak ke Kejuaraan Jelajah di Atlanta, yang mana bonus play-off Piala FedEx sebanyak AS$10 juta (RM42 juta) menjadi buruan.

- AFP

Berita Harian X