Sabtu, 29 Julai 2017 | 1:19pm
VIJAY Singh.- Foto AFP
VIJAY Singh.- Foto AFP

Vijay Singh bukti hayunan masih berbisa

MONTREAL: Bekas pemain golf nombor satu dunia, Vijay Singh yang 'menyepi' sekian lama menampakkan sentuhannya semula untuk hanya ketinggalan dua pukulan di belakang pendahulu Terbuka Kanada, pagi tadi.

Hadir dengan hasrat untuk muncul selaku pemain tertua memenangi gelaran dalam Jelajah PGA, pemain Fiji berusia 54 tahun itu membenam enam birdie tetapi dua bogey untuk mencatat 68 pukulan di Kelab Golf Abbey.

Begitupun, bintang veteran itu ketinggalan di belakang Martin Flores yang menerajui hari kedua dengan kelebihan satu pukulan ke atas beberapa pemain Amerika Syarikat (AS).

Vijay, yang juga pemenang 34 gelaran Jelajah PGA tetapi kemarau kejuaraan sejak 2008, menampilkan permulaan terbaiknya musim ini selepas membuka saingan hari pertama dengan 66 pukulan.

"Semuanya berjalan seperti yang dikehendaki... ini adalah lapangan yang mana apabila anda berada di kawasan fairway, lebih mudah untuk melakukan hayunan bola ke lubang," kata Vijay.

"Saya melakukan latihan putt yang baik minggu lalu, jadi ia tampak mula membuahkan hasil."

Seandainya Vijay menyambar kemenangan pada awal pagi esok, dia akan muncul sebagai pemenang paling tua dalam sejarah Jelajah PGA, mengatasi pencapaian Sam Snead pada Terbuka Greater Greensboro 1965 yang melakukannya ketika berusia 52 tahun 10 bulan.

Sementara itu, naib juara Terbuka British, Matt Kuchar yang dicanang mampu muncul juara terpaksa berhempas pulas untuk melepasi cut.

Dia bernasib baik apabila catatan 68 pukulan sudah mencukupi untuk memastikan terus kekal bersaing selepas sekadar mencatat par kelmarin, untuk berada di tangga bawahan dengan ketinggalan tujuh pukulan di belakang peneraju. - REUTERS

Keputusan Hari Kedua

132 - Martin Flores (AS) 66 66

133 - Matt Every (AS) 65 68; Brandon Hagy (AS) 65 68; Gary Woodland (AS) 70 63

134 - -Harold Varner III (AS) 69 65; Charley Hoffman (AS) 68 66; Vijay Singh (Fiji) 66 68; Kevin Chappell (AS) 65 69; Ryan Ruffels (AUS) 67 67

135 - Jhonattan Vegas (VEN) 66 69; Chad Campbell (AS) 66 69; Sam Saunders (AS) 68 67; Morgan Hoffmann (AS) 68 67

Berita Harian X