Ahad, 8 Januari 2023 | 6:40pm
Pemain Malaysia meraikan kemenangan bersama penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil selepas menewaskan Thailand 1-0 saingan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 semalam. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Pemain Malaysia meraikan kemenangan bersama penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil selepas menewaskan Thailand 1-0 saingan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 semalam. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Rating pemain Malaysia menentang Thailand

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya mendapat bekalan tipis apabila menewaskan Thailand 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Barisan pemain pasukan kebangsaan tampak terpaksa bekerja keras mengekang asakan bertali arus skuad Gajah Perang yang mempamerkan kualiti permainan lebih baik.

Bagaimanapun, kejayaan pemain skuad Harimau Malaya mempertahankan jaringan tunggal yang diledak Faisal Halim pada minit ke-11 mengecewakan Thailand daripada memperoleh kelebihan gol tempat lawan.

Berikut adalah rating bagi jurulatih dan pemain skuad Harimau Malaya ketika berdepan Thailand.

Kim Pan Gon (8/10) - Walaupun hanya menang tipis, namun taktikal yang dimainkan Pan Gon termasuk dalam melakukan pertukaran pemain berjaya menyerap tekanan tinggi daripada Thailand yang jelas menguasai permainan.

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (8/10) - Banyak diuji berbanding ketika berdepan Singapura, Syihan berjaya menyelamatkan beberapa percubaan penyerang Thailand.

Quentin Cheng (6.5/10) - Bekerja keras membantu barisan pertahanan selain turut memainkan peranan ketika pasukan menyerang sebelum dikeluarkan pada minit ke-69.

V Ruventhiran (8/10) - Memainkan peranan sama dengan Quentin, namun Ruventhiran cemerlang di bahagian kiri apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan dan membantu jaringan tunggal yang diledak Faisal Halim.

Sharul Nazeem Zulpakar (7.5/10) - Berjaya mematahkan beberapa serangan pasukan Thailand dan membentuk gandingan mantap bersama Brendan Gan dan Dominic Tan.

Dominic Tan (8/10) - Selain mempertahankan benteng daripada dibolosi, Dominic turut berjaya meledak gol kedua Harimau Malaya sebelum ia dibatalkan pengadil.

Faisal Halim (7.5/10) - Prestasi Faisal tidak mengecewakan dengan dia muncul wira Harimau Malaya apabila jaringan tunggalnya memberi kemenangan 1-0 kepada skuad negara.

Stuart Wilkin (7.5/10) - Sekali lagi diberi kepercayaan beraksi penuh, namun Wilkin tampak terpaksa bekerja keras untuk mengimbangi jentera tengah Thailand yang berkualiti.

Darren Lok (7/10) - Sentiasa bekerja keras menekan pertahanan lawan sebelum dia digantikan dengan Haqimi Azim pada minit ke-69.

Safawi Rasid (6.5/10) - Aksi Safawi dilihat kurang menjadi berbanding ketika berdepan Singapura dan tidak banyak hantaran terbaik dapat dilakukan.

Lee Tuck (8/10) - Bekerja keras sepanjang permainan termasuk ketika Harimau Malaya melakukan serangan dan bertahan dengan dia dilihat antara pemain yang rajin di atas padang.

Brendan Gan (8/10) - Aksi konsisten dipamerkan Brenda dengan dia boleh dikatakan menjadi nadi pertahanan Harimau Malaya mempertahan kubu daripada dibolosi.

Pemain gantian:

Sergio Aguero (5/10) - Masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-69, kali ini Aguero tidak berjaya melakukan tugas cemerlang seperti ketika berdepan Singapura.

Nur Shamie Iszuan Amin (5/10) - Mendapat pengalaman berguna dalam perlawanan besar selepas beraksi kira-kira 26 minit dengan dia juga memiliki keberanian untuk menggelecek pertahanan Thailand.

Haqimi Azim Rosli (minit-69) (5/10) - Kemasukannya pada minit ke-69 menambah tenaga baharu di bahagian serangan Harimau Malaya dan hampir meledak gol kedua buat pasukan.

David Rowley (4.5/10) - Kemasukan Rowley pada minit ke-81 menguatkan lagi pertahanan Harimau Malaya untuk mempertahankan jaringan 1-0 hingga tamat permainan.

Fazly Mazlan (4/10) - Dimasukkan pada minit ke-87, tidak banyak yang dapat disumbangkan Fazly bagi aksi berdepan Thailand.

Berita Harian X