Siapa sangka skuad Harimau Malaya yang dibentuk kurang daripada sebulan sebelum bermulanya Piala AFF 2022, berjaya mara ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada malam ini. Syabas diucapkan kepada barisan pemain dan jurulatih di atas kejayaan ini.
Namun begitu, ujian getir yang menanti skuad Harimau Malaya adalah Thailand yang juga seteru ketat kita dalam bola sepak di rantau Asia Tenggara ini. Pasukan negara jiran itu sangat sinonim dengan kejohanan ini apabila sentiasa berjaya meloloskan diri ke peringkat separuh akhir. Malah mereka juga hadir malam ini selaku juara bertahan 2020.
Thailand memiliki barisan pemain yang stabil di segenap posisi dan pemain penyerang seperti Terasil Dangda yang masih lagi tajam di bahagian serangan. Ternyata skuad Gajah Perang ini lebih bersedia mempertahankan kejuaraan dengan mengekalkan corak permainan menyerang di bawah kendalian Alexandre Polking. Setakat ini, mereka masih belum teruji di peringkat kumpulan kecuali dengan Indonesia yang berakhir dengan keputusan seri.
Sudah pasti Kim Pan-Gon sudah mengenal pasti taktikal Thailand ketika berlangsungnya kejohanan Piala Raja Thai. Persoalannya adalah bagaimana Pan-Gon mahu menyekat kemaraan skuad Gajah Perang itu dengan berbekalkan pemain-pemain yang cetek pengalaman di peringkat antarabangsa?
Jawapannya adalah PanGon perlu menerapkan taktikal yang terbaik bagi memastikan skuad Harimau Malaya 'mengaum'. Selain itu, beliau perlu memberikan kata-kata pembakar semangat untuk menaikkan motivasi pemain. Kesempatan bermain di halaman sendiri perlu dimanfaatkan.
Jika dilihat daripada dua perlawanan di tempat lawan, pasukan kebangsaan menang tipis dengan Myanmar dan tewas dengan tiga gol dibolosi di Vietnam. Pan Gon sedar bahawa barisan pemainnya adalah 'mesin' yang tidak seampuh dengan barisan pemain yang bermain ketika kelayakan Piala Asia.
Ini kerana kekurangan pemain di barisan tengah yang menyebabkan pasukan ini kurang stabil untuk berhadapan pemain Thailand yang lebih berpengalaman. Ditambah lagi dengan kurangnya pengalaman pemain pertahanan menyerang untuk membekalkan hantaran lintang yang menjadi corak permainan skuad Harimau Malaya.
Sungguhpun begitu, disebalik beberapa kelemahan yang ada, kita perlu optimis bahawa pasukan ini mampu mara ke perlawanan akhir untuk bertemu Vietnam atau Indonesia. Senjata utama untuk pasukan skuad Harimau Malaya tidak lain dan tidak bukan adalah sokongan `pemain ke-12'. Penyokong Harimau Malaya perlu memainkan peranan pada malam ini.
Penulis menjangkakan Thailand akan memberikan saingat sengit dalam perlawanan malam ini. Mereka perlu mendapatkan gol di tempat lawan agar tidak gigit jari di Bangkok nanti. Kemungkinan keputusan seri atau Harimau Malaya menang tipis akan terhasil. Diharapkan anak buah Pan Gon dapat memberikan fokus dan tidak menyerah kalah.
Sesungguhnya, pasukan Thailand gerun dan gusar apabila bermain di Bukit Jalil. Rekod kebelakangan ini banyak tidak memihak kepada mereka kerana Stadium Nasional adalah gelanggang keramat skuad Harimau Malaya. Semoga kemenangan berpihak kepada kita dengan bekalan selesa sebelum ke Bangkok.
Ramalan: Malaysia 2-1 Thailand
Penulis adalah penyokong tegar Harimau Malaya