Sabtu, 24 Disember 2022 | 3:15pm
Syihan sah meninggalkan pasukan Negeri Sembilan musim depan.
Syihan sah meninggalkan pasukan Negeri Sembilan musim depan.

Devan tak 'goyang' tanpa Syihan, Khuzaimi

KUALA LUMPUR: 'Kehilangan' dua bintang utama, Ahmad Khuzaimi Piee dan Ahmad Syihan Hazmi tidak membuatkan pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan 'goyang' bagi menghadapi musim 2023.

Devan menegaskan dia sudah berusaha untuk mendapatkan pengganti yang bersesuaian sekalipun sedar pasti akan ada perbandingan daripada penyokong.

Ditambah sebahagian besar pemain dari musim lalu masih dikekalkan, Devan optimis kekuatan skuad 'Hobin Jang Hobin' tidak terjejas sepenuhnya bagi memberikan saingan berkualiti kepada pencabar lain di Liga Malaysia (Liga M).

"Kami sudah mengikat beberapa orang pemain tempatan yang berkualiti untuk mengharungi musim 2023 bagi menggantikan pemain yang tidak lagi bersama pasukan.

"Mungkin untuk mendapatkan pengganti setanding Syihan, itu sesuatu yang tidak boleh dilakukan kerana dia kini penjaga gol nombor satu negara.

"Namun kami akan cuba mendapatkan penjaga gol yang tidak jauh kualitinya dengan Syihan. Begitu juga pengganti Khuzaimi, kami masih dalam proses mencari pemain yang ada kaliber seperti dia.

"Memang saya jangka penyokong akan meletakkan harapan tinggi tetapi perlu diingat pasukan lain turut memperkuat cabaran masing-masing dan saya boleh letakkan sasaran selepas melihat senarai pemain yang dimiliki pasukan lain," katanya.

Sebagai rekod, sekurang kurangnya 15 pemain daripada musim lalu dikekalkan dengan pertahanan, Herold Goulon yang pasti dikekalkan bagi kuota import setakat ini.

Berita Harian X