Selasa, 13 Disember 2022 | 8:04pm
Penjaga gol ketiga Kedah, Fikri Che Soh. - Foto ihsan FB Kedah Darul Aman FC
Penjaga gol ketiga Kedah, Fikri Che Soh. - Foto ihsan FB Kedah Darul Aman FC

Fikri lengkapkan senarai penjaga gol Kedah

ALOR SETAR: Fikri Che Soh melengkapkan senarai penjaga gawang Kedah Darul Aman FC apabila namanya diumumkan sah bersama skuad Sang Kenari bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Dengan pengumuman itu, ia menyaksikan bekas penjaga gol Kelantan United berusia 24 tahun ini bakal bergabung bersama dua lagi penjaga gawang yang berada dalam senarai awal pasukan kendalian Nafuzi Zain iaitu Kalamullah Al-Hafiz dan Ifwat Akmal.

Kemasukan Fikri yang diikat kontrak selama setahun bakal memberi persaingan sihat dan kekuatan tambahan dalam barisan penjaga gol skuad Kenari berdasarkan kemampuan ditunjukkan beliau sebelum ini.

"Selamat datang Mohammad Fikri Che Soh ke bumi Jelapang Padi. Penjaga gol baharu pasukan Sang Kenari ini berusia 24 tahun berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan beliau mewakili Kelantan United FC pada musim lepas.

"Beliau menandatangani kontrak selama setahun dan beraksi di posisi penjaga gol. Kehadiran Fikri yang bertubuh fizikal tinggi sudah pasti memberi persaingan sihat di bahagian gawang Sang Kenari dan beliau akan menggunakan jersi bernombor 33 di musim 2023," kata kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, Fikri turut meluahkan rasa terujanya apabila mendapat peluang kedua beraksi di luar negeri kelahirannya Kelantan selepas kali pertama berhijrah ke Perlis pada musim 2019.

"Saya tetap ambil cabaran ini apabila keluar berhijrah sekali lagi walaupun niat saya mulanya mahu bermain di Kelantan. Tetapi apabila mendapat tawaran dari Kedah kali ini, saya terus sahut cabaran ini kerana Kedah memiliki nama besar dalam Liga M.

"Saya turut rasa teruja, tambahan pula mendapat rakan sepasukan Kalamullah yang merupakan nama besar dalam senarai penjaga gol di Liga M dan saya tidak sabar untuk menjadi 'partner' dia," katanya.

Berita Harian X