Khamis, 8 Disember 2022 | 11:50pm
Neymar (kanan) bersama rakan sepasukan Paqueta, Raphinha dan Vinicius meraikan jaringan dengan menari ketika perlawanan antara Brazil dan Korea Selatan. - Foto Agensi
Neymar (kanan) bersama rakan sepasukan Paqueta, Raphinha dan Vinicius meraikan jaringan dengan menari ketika perlawanan antara Brazil dan Korea Selatan. - Foto Agensi

'Tarian adalah cara hidup kami, bukan tidak hormat' - Tite

DOHA: Jurulatih Brazil, Tite membalas kritikan terhadap pemainnya yang meraikan jaringan dengan menari ketika aksi Piala Dunia bertemu Korea Selatan, sekali gus menolak tanggapan tindakan itu menunjukkan rasa tidak hormat.

Pasukan pilihan itu melakar kemenangan bergaya 4-1 ke atas Korea Selatan, Isnin lalu dan meraikan jaringan mereka dengan tarian dan pelbagai gerakan, malah Tite turut dilihat menyertai pemain meraikan salah satu jaringan itu.

Tindakan itu mengundang reaksi pelbagai pihak dan tarian Neymar bersama rakan sepasukan menjadi topik perbualan hangat menjelang aksi suku akhir menentang Croatia, esok.

"Ini bukan pasukan kebangsaan saya. Ia adalah pasukan kebangsaan Brazil yang mana saya bertanggungjawab sebagai jurulatih.

"Saya simpati dengan orang yang tidak mengetahui sejarah dan budaya Brazil dan cara hidup kami," kata Tite ketika ditanya mengenai cara pemainnya meraikan jaringan ketika sidang media.

Pengendali berusia 61 tahun itu yang kali kedua membawa Brazil beraksi di Piala Dunia dan bakal melepaskan jawatannya sebaik tamat kejohanan, berkata dia tidak selesa untuk menyertai pemainnya menari tetapi mahu mempunyai hubungan bersama mereka.

"Saya sudah berusia 61 dan semua pemain ini mungkin boleh dianggap sebagai cucu, tetapi saya mahu mempunyai hubungan dengan mereka.

"Jika saya perlu menari saya akan menari walaupun saya akan melakukannya secara halus dan saya akan meminta mereka melindungi saya. Ia bukan cara saya." katanya. - AFP

Berita Harian X