Selasa, 29 November 2022 | 10:36am
Pemain Arab Saudi meraikan kejayaan menewaskan Argentina pada aksi pembukaan Kumpulan C Piala Dunia.
Pemain Arab Saudi meraikan kejayaan menewaskan Argentina pada aksi pembukaan Kumpulan C Piala Dunia.

Peluang Arab Saudi ulangi pencapaian 1994

AL RAYYAN, Qatar: Argentina, Mexico dan Poland pada awalnya diletakkan sebagai pilihan untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik daripada Kumpulan C, mengatasi Arab Saudi pada kempen Piala Dunia.

Bagaimanapun, kemenangan menakjubkan Arab Saudi ke atas Argentina pada aksi pembukaan menyaksikan pasukan dari Asia itu tidak boleh diketepikan menjelang aksi terakhir mereka menentang Mexico, awal pagi Khamis ini.

Dalam lima penampilan di Piala Dunia, Arab Saudi hanya sekali berjaya mara ke pusingan 16 terbaik iaitu pada edisi 1994.

Di Qatar, Poland mendahului carta Kumpulan C dengan empat mata, satu mata meninggalkan Argentina dan Arab Saudi manakala Mexico hanya mengutip satu mata.

Jika Arab Saudi mahu melangkah ke pusingan seterusnya, mereka wajib menewaskan Mexico, tanpa mengambil kira keputusan perlawanan membabitkan Poland menentang Argentina.

Keputusan seri menyaksikan mereka perlu mengharapkan Poland menewaskan Argentina manakala kekalahan akan menyukarkan peluang untuk bersaing di pusingan kalah mati.

Arab Saudi hanya boleh tewas dengan satu gol sambil mengharapkan Poland memenangi perlawanan mereka dengan jaringan yang besar.

Arab Saudi mengejutkan arena bola sepak dunia apabila menewaskan Argentina 2-1 pada aksi pembukaan sebelum tewas 0-2 di tangan Poland dalam perlawanan kedua.

"Tiada sesiapa di seluruh dunia menjangkakan bahawa kami boleh bermain pada tahap ini. Ya, di Arab Saudi kami mengenali pemain dengan baik, tetapi mereka tidak diketahui oleh peminat di seluruh dunia," kata jurulatih Arab Saudi, Herve Renard.

"Kami masih kekal bersaing."

Renard, berkata pasukannya akan bermain menentang Mexico di Stadium Lusail dengan semangat dan keinginan yang tinggi.

"Kami mahukan penyokong mencipta sejarah. Saya mahukan stadium menjadi hijau sekali lagi, mungkin kami akan bermain menggunakan jersi berwarna putih tetapi ia tidak penting, kami mahukan sokongan daripada peminat," katanya. - REUTERS

Berita Harian X