DOHA: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memulakan siasatan terhadap Persatuan Bola Sepak Serbia selepas bendera yang menunjukkan Kosovo sebagai sebahagian daripada negara mereka didakwa digantung di bilik persalinan ketika pertemuan Brazil di kejohanan Piala Dunia, kata badan induk itu.
Imej bendera dengan mesej 'kami tidak menyerah' dalam bahasa Serbia tular di media sosial apabila ia dikongsi oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Kosovo, Hajrulla Ceku.
"Imej-imej yang memalukan daripada bilik persalinan Serbia memaparkan mesej kebencian, xenofobia dan genosid terhadap Kosova, sambil mengeksploitasi platform Piala Dunia FIFA," kata Ceku di Twitter.
Disgraceful images from #Serbia locker room, displaying hateful, xenophobic and genocidal messages towards #Kosova, while exploiting #FIFAWorldCup platform.
We expect concrete actions from @FIFAcom considering that the @FFK_KS is a full FIFA and UEFA member. pic.twitter.com/xwu6i0j7dG— Hajrulla Çeku (@HCeku) November 25, 2022
"Kami mengharapkan tindakan tegas daripada FIFA memandangkan Persekutuan Bola Sepak Kosovo (FFK) adalah ahli FIFA dan UEFA (Kesatuan Bola Sepak Eropah)."
Kosovo menjadi ahli gabungan UEFA dan FIFA pada 2016, lapan tahun selepas negara itu mengisytiharkan kemerdekaan daripada Serbia.
"Jawatankuasa Tatatertib FIFA sudah memulakan siasatan terhadap Persatuan Bola Sepak Serbia kerana bendera yang dipaparkan di bilik persalinan mereka pada perlawanan menentang Brazil," kata FIFA dalam satu kenyataan.
"Siasatan dijalankan berdasarkan Perkara 11 Kod Tatatertib FIFA dan Perkara 4 Peraturan untuk Piala Dunia FIFA 2022." - REUTERS