Isnin, 14 November 2022 | 8:25pm
Bekas penjaga gol Liverpool dan Poland, Jerzy Dudek kini aktif dengan sukan golf. Dia akan mewakili Poland dalam Kejohanan Golf Pemain Amatur Dunia (WAGC) di Kuala Lumpur bermula Selasa dan hingga Ahad ini. - Foto ihsan GolfGuru
Bekas penjaga gol Liverpool dan Poland, Jerzy Dudek kini aktif dengan sukan golf. Dia akan mewakili Poland dalam Kejohanan Golf Pemain Amatur Dunia (WAGC) di Kuala Lumpur bermula Selasa dan hingga Ahad ini. - Foto ihsan GolfGuru

Dudek percaya Poland mampu lepasi peringkat kumpulan

KUALA LUMPUR: Bekas penjaga gol Liverpool dan Poland, Jerzy Dudek percaya pasukan negaranya mampu melepasi peringkat kumpulan pada saingan Piala Dunia Qatar 2022 yang akan bermula minggu hadapan.

Dudek yang berada di Malaysia untuk menyertai Kejohanan Golf Pemain Amatur Dunia (WAGC), mengakui skuad 'The Eagles' yang akan disertai pemain Robert Lewandowski dan Wojciech Szczesny, berhadapan dengan cabaran berat apabila diundi dalam Kumpulan C bersama pasukan pilihan Argentina, Mexico dan Arab Saudi.

"Tetapi undian itu berpihak kepada kami. Kami berhadapan Mexico dahulu dan kemudiannya Arab Saudi sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang pasukan pilihan Argentina (bagi menduduki dua pasukan teratas untuk layak ke peringkat kalah mati)," katanya dalam satu kenyataan daripada penganjur WAGC.

Poland berkedudukan ke-26 dunia, akan berhadapan Mexico pada 23 November dengan kemenangan pada perlawanan itu akan meletakkan mereka pada kedudukan terbaik sebelum berhadapan pasukan lebih rendah Arab Saudi (ke-52 dunia) tiga hari kemudian, dan terakhir berhadapan Argentina (tiga dunia) pada 1 Disember.

Dudek, 49, yang bermain bersama Liverpool antara 2001 dan 2007, akan sentiasa diingati atas kejayaan menyelamatkan dua cubaan Andriy Shevchenko pada minit-minit terakhir masa tambahan pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah 2005 menentang AC Milan.

Milan mendahului 3-0 pada separuh masa, namun Liverpool berjaya membawa perlawanan ke masa tambahan dengan tiga gol, sebelum skuad The Reds menang menerusi sepakan penalti 3-2 dengan Dudek menyelamatkan dua sepakan penalti.

"Ia merupakan kejayaan terbaik karier saya," kata Dudek, selepas sesi latihan di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur semalam untuk persediaan WAGC yang dijadualkan dari Selasa hingga Sabtu ini.

Dudek pemain dengan dua handikap, mula bermain golf selepas mengantung but bolanya pada 2012, berkata beliau kini 'gilakan' permainan itu.

Selain dari golf, Dudek mengendalikan sebuah akademi bola sepak remaja dan juga membuat ulasan untuk siaran televisyen.

Ini adalah kali kedua Dudek bertanding dalam perlawanan akhir WAGC dunia. Bekas pemain Real Madrid itu menyertainya pada 2017 dan bermain di lapangan East KLGCC, Resort The Mines, Sungai Long GCC dan Kelab Templer Park Country.

- BERNAMA

Berita Harian X