SEREMBAN: "Saya akan bermain sebaik mungkin dan memastikan gawang pasukan tidak bolos malam esok. Itu janji saya," kata penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Tekad penjaga gawang itu disuarakannya menjelang aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok.
"Kami perlu menang menewaskan Selangor dengan jumlah jaringan yang mencukupi untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.
"Kelebihan Selangor yang memiliki dua gol hasil kemenangan yang mereka capai di Stadium MBPJ Ahad lalu, perlu disekat.
"Walaupun tugas ini dilihat begitu mencabar, namun saya dan rakan sepasukan akan menghadapinya dengan keyakinan tinggi kerana peluang layak ke separuh akhir masih belum tertutup dan kami perlu digunakan sebaik mungkin kelebihan beraksi di tempat sendiri," kata Ahmad Syihan, hari ini.
Menurut SYihan, dia dan rakannya sudah bersedia dari segala aspek untuk memberikan persembahan terbaik sekali gus menyekat setiap pergerakan anak buah Tan Cheng Hoe untuk mendapatkan jaringan.
Pemain kelahiran Kelantan itu yang mendapat pujian ketika beraksi dalam skuad kebangsaan akui perlu lebih fokus untuk memastikan setiap penjuru gawang dapat dikawal dengan baik.
"Fokus kami untuk menang dan pertahankan rekod yang dicapai dalam Liga Super," katanya yang mengharapkan sokongan padu penyokong.