Khamis, 10 November 2022 | 11:10pm
Pemain Arab Saudi meraikan kejayaan mara ke pusingan akhir Piala Dunia.
Pemain Arab Saudi meraikan kejayaan mara ke pusingan akhir Piala Dunia.

Fokus Piala Dunia: Tornado nadi Arab Saudi

KALI pertama menyertai Piala Dunia pada 1994, Arab Saudi berjaya lolos peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kalah mati.

Juara tiga kali Piala Asia (1984,1988 dan 1996) itu hadir sebagai pasukan di ranking ke-51 dunia dan mempunyai peluang untuk mengulangi pencapaian edisi 1994 berdasarkan undian peringkat kumpulan.

Mereka layak ke pusingan akhir di Qatar selepas menamatkan saingan kelayakan sebagai juara Kumpulan B zon Asia.

Herve Renard, 54, dilantik sebagai pengendali skuad Helang Hijau pada 2019.

Pengendali dari Perancis itu mempunyai pengalaman sebagai pemain pertahanan bersama beberapa kelab di negaranya sebelum memulakan karier sebagai jurulatih pada 1999 di sekitar Eropah, Asia dan Afrika.

Dia memenangi Piala Negara-Negara Afrika bersama Zambia pada 2012, dan kemudian membawa Ivory Coast muncul juara pada 2015 - sekali gus menjadi pengendali pertama memenanginya bersama dua pasukan berbeza.

Pencapaiannya di kejohanan itu bersama Maghribi kurang memberangsangkan apabila tewas kepada Benin dan dia meletakkan jawatannya pada 2019.

Pemain sayap Salem al-Dawsari yang diberi gelaran Tornado adalah sandaran utama Arab Saudi untuk kejohanan kali ini.

Ketika penampilan pertamanya di Piala Dunia 2018 di Russia, Tornado meledak gol kemenangan saat akhir ke atas Mesir.

Dia turut menjaringkan gol ketika Piala Asia 2019 dan Olimpik Tokyo 2021.

Ketika kelayakan Piala Dunia, pemain 31 tahun itu menyelamatkan Arab Saudi daripada kekalahan memalukan di tangan Yaman apabila menjaringkan gol penyamaan untuk keputusan 2-2.

Salem juga mendapatkan tiga mata berharga buat pasukannya apabila meledak gol kemenangan ke atas Uzbekistan pada minit-minit akhir.

Profil Arab Saudi

Persatuan: Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF)

Konfederasi: AFC (Asia)

Ketua jurulatih: Herve Renard

Kapten: Salman Al-Faraj

Nama gelaran: Helang Hijau

Kod FIFA: KSA

Ranking FIFA: 51

Penyertaan Piala Dunia: 6 (kali pertama pada 1994)

Pencapaian: Pusingan 16 (1994)

Jadual perlawanan

Nov 22: Argentina mln Arab Saudi

Nov 26: Poland mln Arab Saudi

Nov 30: Arab Saudi mln Mexico

Berita Harian X