Ahad, 6 November 2022 | 11:28pm
Antara aksi pertemuan SFC dan NSFC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi. Foto ihsan Selangor FC
Antara aksi pertemuan SFC dan NSFC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi. Foto ihsan Selangor FC

Selangor bawa bekal selesa atasi NSFC

PETALING JAYA: Misi pemburuan gelaran ke-34 terus bernyala selepas Selangor FC (SFC) meraih kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Dua gol itu meletakkan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe memiliki sedikit kelebihan menjelang aksi suku akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Sabtu ini.

Pada aksi terbabit, pelawat ditekan dengan dominasi penuh tuan rumah yang menghantar amaran seawal minit kedua menerusi percubaan Hein Htet Aung yang diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi.

Herlison Caion berpeluang membuka jaringan pada minit ke-14 namun gagal menyambar hantaran Brendan Gan sebelum dia sekali lagi terlepas lorongan cantik Htet Aung seminit berselang.

NSFC diselamatkan kecemerlangan Syihan apabila penjaga gol kebangsaan itu menafikan tandukan Caion pada minit ke-42 sebelum turut menepis percubaan Htet Aung (m44).

Penguasaan penuh tuan rumah membuatkan NSFC tidak mampu 'bernafas' namun ketumpulan jentera serangan SFC menyaksikan separuh masa berakhir 0-0.

Bersambung babak kedua, NSFC menerima malang berganda pada minit ke-52 apabila Herold Goulon menerima kad merah dan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Caion untuk gol pembukaan.

Syihan memastikan NSFC tidak terus ketinggalan sekalipun beraksi dengan 10 pemain apabila berjaya menafikan tandukan jarak dekat Sharul Nazeem Zulpakar pada minit ke-69.

Syihan bagaimanapun tewas buat kali kedua pada minit akhir menerusi rembatan deras Aliff Haiqal sekali gus membolehkan SFC berkelebihan dua gol.

Berita Harian X