Selasa, 1 November 2022 | 11:19pm
Pemain Negeri Sembilan, Matheus Alves Leandro (kiri) diasak pemain Kedah, Dechi Marcel N'guessan (kanan) pada perlawanan Piala Malaysia Negeri Sembilan FC menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman. NSTP/AZRUL EDHAM
Pemain Negeri Sembilan, Matheus Alves Leandro (kiri) diasak pemain Kedah, Dechi Marcel N'guessan (kanan) pada perlawanan Piala Malaysia Negeri Sembilan FC menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman. NSTP/AZRUL EDHAM

NSFC kecewakan Kedah

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) melangkah ke suku akhir Piala Malaysia meskipun sekadar seri 0-0 menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi kedua pusingan 16 pasukan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi.

Kemenangan 2-1 pada aksi pertama di Stadium Darul Aman, 22 Oktober lalu, memberi kelebihan buat skuad Hobin Jang Hobin untuk melangkah ke kelompok lapan terbaik.

Walaupun tampil dengan barisan kesebelasan utama termasuk empat pemain import, namun anak buah K Devan buntu mendapatkan gol.

Pada minit kelima, mereka berpeluang berada di depan namun percubaan oleh Mathues Alves ke arah gol pelawat sedikit tersasar.

Penyerang dari Brazil itu juga mempunyai tiga lagi peluang terbaik selepas itu pada minit ke-7, 21 dan 25 termasuk dua daripadanya terkena tiang dan palang.

Kapten Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak hampir meletakkan tuan Negeri Sembilan di depan, namun tandukannya pada minit ke-35, sedikit tersasar.

Memasuki separuh kedua, Devan membawa masuk ayam tambatan pasukan, Gustavo Dos Santos bagi mempertajamkan lagi jentera serangan Negeri Sembilan selepas rentetan peluang pada separuh masa pertama, gagal dimanfaatkan.

Pada minit ke-55, Dos Santos mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol apabila percubaan ke arah gawang lawan tidak menepati sasaran meskipun dia hanya berdepan dengan Mohd Ifwat.

Dos Santos turut mengulangi kesilapannya apabila sepakan penalti yang diambilnya pada minit ke-69, terkena tiang, susulan Che Rashid Che Halim dijatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.

Pada minit ke-70, penolong jurulatih Kedah, Abdul Hadi Abdul Hamid dilayangkan kad merah oleh pengadil Razlan Joffri Ali kerana tindakannya mengganggu tugas pengadil.

Kedua-dua pasukan terus buntu untuk mendapatkan gol sehingga ke wisel penamat.

Berita Harian X