Rabu, 26 Oktober 2022 | 11:12pm
Pemain Kedah, Mohd Aiman Afif Md Afizul (kiri) diasak pemain Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Darul Aman di sini malam ini. - BERNAMA
Pemain Kedah, Mohd Aiman Afif Md Afizul (kiri) diasak pemain Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Darul Aman di sini malam ini. - BERNAMA

Kedah tersungkur di Darul Aman

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Kedah yang cuba bangkit melalui penampilan lebih ramai pemain muda ternyata begitu bersemangat mahu membuktikan sesuatu di bawah kendalian pemangku ketua jurulatih, Victor Andrag yang memulakan tugasan pertama malam ini.

Beraksi dalam keadaan hujan, benteng tuan rumah terlebih dahulu diuji oleh NSFC melalui percubaan seawal minit kedua oleh penyerang Yasir Pinto dalam kotak penalti, namun percubaannya tersekat dan berjaya dihalang penjaga gawang, Ifwat Akmal.

Kedah yang cuba bangkit akhirnya mengejutkan pelawat apabila berjaya menghasilkan gol pembukaan pada minit ketujuh melalui percubaan pemain sayap, Fayadh Zulkifli yang menewaskan penjaga gawang NSFC, Ahmad Syihan Hazmi selepas pertahanan gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bagaimanapun, NSFC berjaya menyamakan kedudukan tiga minit sebelum babak pertama menerusi pemain pertahanan, Che Rashid Che Halim yang membuat percubaan dari bahagian kiri gawang Kedah.

Bermula babak kedua, Kedah terus menekan benteng NSFC menerusi percubaan Mahmoud Al Mardi pada minit ke-52, namun percubaannya berjaya diselamatkan Ahmad Syihan.

Gawang NSFC terus diuji dengan tandukan Ronald Ngah pada minit ke-63, namun percubaan itu terkena palang.

NSFC sekali lagi berjaya menambah gol untuk memimpin perlawanan melalui pemain import berpengalaman Matheus Alves pada minit ke-66 melalui tandukan yang menewaskan Ifwat Akmal.

Bagaimanapun kekalahan 1-2 itu belum menutup peluang skuad Kenari, sebaliknya mereka perlu bangkit apabila beraksi pada pusingan kedua di Paroi, Isnin ini.

Berita Harian X