Ahad, 4 September 2022 | 6:24pm
Pemain JDT, Shane Lowry (dua kiri) diasak dua pemain Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, semalam. Keputusan berakhir 1-1. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.
Pemain JDT, Shane Lowry (dua kiri) diasak dua pemain Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, semalam. Keputusan berakhir 1-1. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.

Keyakinan Selangor bersemarak selepas ikat JDT

KUALA LUMPUR: Selepas dirundung malang dengan empat kekalahan berturut-turut, adakah keputusan memberangsangkan susulan kejayaan mengikat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-1 boleh dianggap sebagai 'cahaya' kebangkitan Selangor FC?

Ketika ramai yang menganggap The Red Giants bakal menjadi santapan mudah skuad Harimau Selatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam, mereka pula membuktikan sebaliknya apabila menafikan pelawat daripada membawa pulang tiga mata.

Namun bagi jurulatih interimnya, Nidzam Jamil, dia enggan bercakap mengenai soal kebangkitan pasukan selepas berdepan beberapa siri kekecewaan sebelum ini, namun sebaliknya tumpuan lebih terarah bagi memastikan anak buahnya sentiasa memberikan aksi konsisten.

"Saya tidak mahu cakap mengenai kebangkitan tetapi apa yang penting adalah kita mengekalkan momentum. Dalam bola sepak, sudah tentu ada situasi naik dan turun.

"Semua yang terbabit perlu memahami mengenai apa yang perlu dilakukan dan objektif utama adalah untuk memastikan prestasi terbaik ini dapat dikekalkan.

"Cuma selepas mengharungi beberapa minggu yang suram, saya akui kami perlukan keputusan sebegini untuk menambah keyakinan dan kepercayaan kita," kata Nidzam.

Pada aksi menentang JDT itu, Selangor menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Super apabila berjaya mengikat pendahulu carta berkenaan menerusi keputusan 1-1.

JDT mendahului menerusi sepakan penalti Bergson da Silva sebelum Herlison Caion mengikat kedudukan pada babak kedua membolehkan Selangor menjadi pasukan ketiga mencuri mata daripada JDT dalam Liga Super musim ini selepas Sri Pahang FC dan Melaka United.

Dalam masa sama, Nidzam yang juga bekas jurulatih FELDA United menyifatkan pertembungan antara dua pasukan terbabit sebagai satu aksi yang bagus untuk ditonton dan dia berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

"Kita mendapat satu mata menentang pasukan bertaraf Asia, jadi saya berpuas hati dengan sikap yang ditunjukkan oleh barisan pemain.

"Mungkin ada beberapa perkara yang perlu kita perbaiki tetapi secara keseluruhan, ini satu perlawanan yang bagus untuk disaksikan kerana kita belajar banyak perkara seperti taktikal dan personaliti pemain," katanya.

Berita Harian X