Ahad, 4 September 2022 | 9:09am
Pemain tengah Bayern Munich, Joshua Kimmich (kiri) dan pemain Union Berlin, Andras Schaefer ketika aksi Bundesliga di Berlin. - Foto AFP
Pemain tengah Bayern Munich, Joshua Kimmich (kiri) dan pemain Union Berlin, Andras Schaefer ketika aksi Bundesliga di Berlin. - Foto AFP

Union ikat Bayern, Freiburg terajui Bundesliga

BERLIN: Pengendali Bayern Munich, Julian Nagelsmann berkata pasukannya tampil kurang bertenaga ketika diikat untuk minggu kedua berturut-turut selepas seri di Union Berlin.

Union mengikat Bayern 1-1, membolehkan Freiburg melonjak ke puncak Bundesliga selepas menewaskan Bayer Leverkusen 3-2.

"Ia keputusan yang adil. Tenaga yang saya kagumi dalam beberapa minggu lalu tidak kelihatan hari ini," kata Nagelsmann yang pasukannya akan bertemu Inter Milan Rabu ini untuk aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Selepas permulaan cemerlang musim ini, Union memulakan perlawanan dengan hanya perbezaan gol yang memisahkan kedua-dua pasukan.

Sheraldo Becker meletakkan Union di depan di awal babak pertama menerusi sepakan percuma yang mengejutkan juara bertahan itu.

Keceriaan penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila Bayern menyamakan kedudukan menerusi Joshua Kimmich.

Bayern kini di tangga ketiga Bundesliga, di belakang Borussia Dortmund dan pendahulu, Freiburg.

Leverkusen mendahului permainan pada minit ke-16 menerusi Kerem Demirbay, tetapi Freiburg bangkit meledak dua gol selepas rehat menerusi Matthias Ginter dan Michael Gregoritsch.

Pemain pinjaman dari Cheslea, Callum Hudson-Odoi kemudian membuat hantaran lintang untuk gol penyamaan Leverkusen jaringan Patrick Schick.

Bagaimanapun Ritsu Doan kembali meletakkan Freiburg di depan dan di puncak Bundesliga, manakala Leverkusen tewas buat kali keempat dalam lima perlawanan.

Selain Leverkusen, satu lagi pasukan Liga Juara-Juara yang berada di kelompok bawah Bundesliga adalah RB Leipzig, yang tewas 3-0 di tangan Eintracht Frankfurt. - AFP

Berita Harian X