Ahad, 25 September 2022 | 9:20pm
Pemain Melaka terlepas aksi Piala Malaysia musim ini selepas disingkirkan kerana isu tunggakan gaji.
Pemain Melaka terlepas aksi Piala Malaysia musim ini selepas disingkirkan kerana isu tunggakan gaji.

Pasukan tercorot ganti Melaka?

KUALA LUMPUR: Adakah nasib malang menimpa Melaka United akan menjadi tuah buat pasukan tercorot Liga Super?

Ia selepas difahamkan bahawa pasukan terbawah Liga Super akan mengambil slot Melaka United dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Melihat kepada kedudukan liga yang hanya berbaki empat perlawanan, Penang berada di tangga tercorot dan dibezakan tujuh mata dari Sarawak United.

Jadi, sama ada Penang atau Sarawak United yang akan menghuni kedudukan terbawah selepas berakhir saingan Liga Super nanti, mereka tetap akan mendapat tempat dalam saingan Piala Malaysia sekiranya andaian pasukan tercorot akan menggantikan Melaka United benar-benar dibuat Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Andaian itu turut bermain di media sosial dan ia sebenarnya tidak mustahil boleh berlaku berdasarkan beberapa faktor termasuk dari segi hierarki pasukan dan jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini yang sangat padat.

Mengikut hierarki kedudukan pasukan, pasukan tercorot Liga Super menjadi pasukan tertinggi selepas Melaka United kerana 11 lagi pasukan dari liga utama itu automatik akan layak ke Piala Malaysia.

Ia kerana 11 pasukan Liga Super dan lima wakil dari Liga Perdana (tidak termasuk pasukan sokongan atau 'feeder club') akan layak bersaing di pentas Piala Malaysia.

Selain itu, jadual Liga M yang padat pada musim ini juga seakan tidak memungkinkan pengganti Melaka United dalam saingan Piala Malaysia akan dilakukan dengan perlawanan playoff.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum ada sebarang pengumuman daripada MFL mengenai siapa yang akan mengisi slot Melaka United dalam Piala Malaysia.

Difahamkan, keputusan itu akan diputuskan oleh Lembaga Pengarah MFL dengan mengambil kira semua faktor.

Sebelum ini, MFL Melaka United 'disingkir' daripada saingan Piala Malaysia ketika saingan tertua Asia Tenggara itu belum membuka tirainya susulan kegagalan skuad Hang Tuah menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Keputusan itu dibuat Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas pasukan Liga Super itu gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji mengikut tarikh ditetapkan iaitu sehingga 20 September lalu.

Berita Harian X