Jumaat, 23 September 2022 | 9:00am
Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Badrul Afzan Razali.
Badrul Afzan Razali.

Dua sahabat baik bertempur rebut `ibu segala pingat'

KUALA LUMPUR: Aksi final acara bola sepak untuk merebut 'ibu segala pingat' di Sukan Malaysia (SUKMA) antara Terengganu dan Pulau Pinang boleh dianggap sebagai pertembungan antara dua sahabat baik.

Ini kerana jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali sememangnya mengenali pengendali Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sekali gus menyaksikan final ini bakal menampilkan percaturan menarik oleh dua jurulatih muda itu.

"Saya nak jumpa dialah (Akmal RIzal) di final kerana saya sudah lama kenal dengan Akmal. Kami beraksi bersama di Kedah, ambil lesen profesional pun bersama siap duduk sebilik lagi. Kami turut saling berkongsi ilmu semasa dalam kursus.

"Cuma tekanan itu memang ada apatah lagi ini final pertama Terengganu selepas 12 tahun. Saya lebih suka untuk kita fokus perlawanan demi perlawanan dan tidak letakkan sasaran tinggi. Kita sasar suku akhir, separuh akhir dan kini ke final.

"Ini adalah pentas terakhir dan kita bersyukur kalau mendapat pingat emas. Kita akan pergi sehabis mungkin dan pasukan bersedia di final tanpa sebarang kecederaan dan penggantungan," katanya.

Sementara itu, Akmal mengharapkan anak buahnya dapat terus menghadiahkan berita gembira buat penyokong bola sepak Pulau Pinang dan kini berpeluang mencipta sejarah memenangi pingat emas sulung acara bola sepak di SUKMA.

Dengan keadaan pasukan utama, Penang FC yang berada di tangga tercorot Liga Super, kejayaan Harimau Kumbang Muda itu mungkin sedikit sebanyak melegakan hati penyokong dan pingat emas sudah pasti menjadi hadiah terbaik merawat kedukaan.

"Saya rasa itu juga satu motivasi untuk kami tunjukkan aksi yang terbaik. Jangan pedulikan apa yang berlaku dengan pasukan senior dan kita bersaing sebagai pasukan Bawah 21 tahun (B-21).

"Moral pemain berada pada tahap tertinggi selepas kita ke final dan saya akan sediakan perancangan yang terbaik. Pemain yang betul betul cergas dan memiliki kekuatan mental akan beraksi di final.

"Masuk ke final adalah satu sejarah untuk diri sendiri dan juga pemain juga. Jadi kita memang harapkan dapat meraih pingat emas," katanya.

Berita Harian X