Isnin, 22 Ogos 2022 | 9:26am
Penyerang Bayern Munich, Sadio Mane (tengah) menganggap corak latihan Julian Nagelsmann (kiri) antara faktor permulaan cemerlang pasukan musim ini. - Foto AFP
Penyerang Bayern Munich, Sadio Mane (tengah) menganggap corak latihan Julian Nagelsmann (kiri) antara faktor permulaan cemerlang pasukan musim ini. - Foto AFP

Mane tidak terkejut prestasi cemerlang Bayern

BERLIN: Penyerang Bayern Munich, Sadio Mane berkata dia tidak terkejut dengan permulaan cemerlang pasukannya musim ini.

Bekas penyerang Liverpool itu berkata, sesi latihan serta taktikal pengendali, Julian Nagelsmann membolehkan Bayern mencatat rekod permulaan terbaik dalam sejarah Bundesliga.

Bayern memenangi ketiga-tiga perlawanan pertama musim ini dan mempunyai perbezaan jaringan 14 gol untuk menghuni tangga teratas liga.

Selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan 7-0 ke atas Bochum semalam, Mane berkata persiapan Bayern diterjemahkan sebaiknya di atas padang.

"Ia sukar dipercayai, tetapi ia tidak mengejutkan buat saya, melihat kepada cara kami berlatih.

"Tahap latihan amat tinggi, semua yang kami lakukan, berbaloi kerana kami bekerja keras ketika latihan.

"Kami mempunyai jurulatih yang sangat bagus. Ideanya luar biasa. Sukar bagi pasukan lain untuk menyaingi kami," kata Mane.

Pemain Senegal berusia 30 tahun ini mengharungi enam musim cemerlang bersama Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Dia menyertai Bayern pada jendela perpindahan musim panas ini dan sudah meledak empat gol untuk juara bertahan Bundesliga itu.

Mane menjaringkan gol di babak pertama menentang Bochum dan menyempurnakan sepakan penalti di babak kedua - tugasan baharunya di Bayern.

Walaupun meledak 90 gol dalam 196 penampilan untuk Liverpool, tiada yang dijaringkan menerusi sepakan penalti kerana ia adalah tugas yang sering diberikan kepada Mohamed Salah. - AFP

Pemain Bayern Munich, Leroy Sane (dua dari kiri) diasak oleh pemain Bochum dalam aksi Bundesliga di Jerman. - Foto Reuters
Pemain Bayern Munich, Leroy Sane (dua dari kiri) diasak oleh pemain Bochum dalam aksi Bundesliga di Jerman. - Foto Reuters

Aksi pemain Bayern Munich, Matthijs de Ligt (kiri) ketika jaringkan gol kedua pasukan. - Foto Reuters
Aksi pemain Bayern Munich, Matthijs de Ligt (kiri) ketika jaringkan gol kedua pasukan. - Foto Reuters

Berita Harian X