Selasa, 16 Ogos 2022 | 9:15pm
Pertahanan Crystal Palace Joachim Andersen (kiri) mengawal rapi penyerang Liverpool Darwin Nunez dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. - Foto AFP
Pertahanan Crystal Palace Joachim Andersen (kiri) mengawal rapi penyerang Liverpool Darwin Nunez dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. - Foto AFP

Andersen diugut bunuh angkara Nunez

LONDON: Joachim Andersen mendedahkan ancaman diterima di media sosial selepas penyerang Liverpool Darwin Nunez dibuang padang kerana menanduknya.

Pertahanan Crystal Palace itu terbaring di atas padang selepas Nunez mengasarinya pada minit ke-57 dalam aksi di Anfield yang berkesudahan 1-1.

Pemain Denmark berusia 26 tahun itu mendedahkan, dia menerima pelbagai kecaman dan ancaman di media sosial, termasuk ugutan untuk membunuh dia dan keluarganya.

"Menerima 3-400 mesej seperti itu semalam. Saya faham anda menyokong pasukan tetapi tunjukkan sedikit rasa hormat dan berhenti tunjuk kuat di atas talian.

"Harap @instagram dan @premierleague melakukan sesuatu tentang ini," kata Andersen di laman Instagram.

Nunez, yang menyertai Liverpool dari Benfica pada musim panas ini, berdepan penggantungan tiga perlawanan di atas tindakannya itu.

Darwin Nunez (dua dari kiri) dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Paul Tierney selepas mengasari pemain Crystal Palace, Joachim Andersen. - Foto REUTERS
Darwin Nunez (dua dari kiri) dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Paul Tierney selepas mengasari pemain Crystal Palace, Joachim Andersen. - Foto REUTERS

Palace mendahului 1-0 hasil jaringan Wilfried Zaha, tetapi skuad kendalian Jurgen Klopp menyamakan kedudukan menerusi Luis Diaz.

Andersen mengawal rapi Nunez sepanjang perlawanan sebelum penyerang Liverpool itu menanduknya dan kemudian dilayangkan kad merah.

"Saya rasa sebab itu dia marah terhadap saya. Dia menanduk saya, kali pertama saya katakan kepadanya dia tidak sepatutnya melakukan perkara itu.

"Kemudian dia melakukannya sekali lagi, bagi saya ia tindakan bodoh, memang patut kena kad merah," kata Andersen. - AGENSI

Berita Harian X