Sabtu, 6 Ogos 2022 | 1:15pm
Mane menyertai penyokong meraikan jaringannya ketika menentang Eintracht Frankfurt pada aksi pembukaan Bundesliga. - REUTERS
Mane menyertai penyokong meraikan jaringannya ketika menentang Eintracht Frankfurt pada aksi pembukaan Bundesliga. - REUTERS

Mane buat Lewandowski dilupakan

FRANKFURT (Jerman): Sadio Mane turut menyertai penyokong Bayern Munich selepas dia meledak gol pada penampilan sulung Bundesliga ketika pasukan baharunya membelasah Eintracht Frankfurt 6-1 pada malam pembukaan musim baharu 2022-23, awal pagi tadi.

Mane tidak dapat menyembunyikan kegembiraan terhadap penampilan sulungnya dalam Bundesliga, melakukan gaya meraikan gol yang menjadi 'trademark' buatnya dengan bersujud dan mencium padang sebelum mendongak mukanya ke arah langit dengan kedua-dua tangannya seolah-olah berdoa tanda bersyukur.

Malah lebih mengejutkan bintang serangan dari Senegal itu menyertai peminat Bayern di tempat duduk penonton dan menyambar mikrofon pembesar suara meraikan kejayaannya itu selepas aksi di Deutsche Bank Park berakhir.

Mane menyertai Bayern Munich menerusi perjanjian bernilai £35.1 juta (kira-kira RM189 juta) dari Liverpool pada musim panas ini dan dia sudah menjaringkan gol pada penampilan sulung Bayern hujung minggu lalu ketika mengatasi RB Leipzig bagi menjuarai Piala Super Jerman dan kini meneruskan rentak gemilang itu dalam Bundesliga sekali gus membuktikan dia pengganti terbaik buat Robert Lewandowski yang menyertai Barcelona.

Mane menanduk masuk gol ketika menentang Eintracht Frankfurt pada aksi pembukaan Bundesliga. - REUTERS
Mane menanduk masuk gol ketika menentang Eintracht Frankfurt pada aksi pembukaan Bundesliga. - REUTERS

Mane, yang menyarung jersi nombor 17 Bayern, beraksi sebagai penyerang di samping bekas pemain Arsenal, Serge Gnabry dalam formasi 4-4-2 di bawah kendalian Julian Nagelsmann.

Malah dia menyumbat gol sulungnya itu, yang juga gol ketiga buat Bayern, pada minit ke-29 menerusi tandukan hasil hantaran lambung Gnabry dari sebelah kiri.

Pemain Terbaik Afrika itu turut terbabit dalam tiga gerakan gol Bayern selepas itu yang menyaksikan dua gol sumbangan bintang muda Jamal Musiala dan Gnabry selain mempunyai tiga lagi peluang untuk menambah gol.

Menjelang pertembungan itu, presiden Frankfurt Peter Fischer membuat jenaka mengenai ketibaan Mane di Bayern apabila beliau berkata dalam satu temu ramah bersama stesen penyiar RTL dan n-tv: "Siapa Mane?"

Namun gurauan kasar itu nyata memakan diri ketika pasukannya tidak dapat mengekang bekas bintang The Reds dan rakan sepasukannya daripada bermaharajalela.

Aksi Mane ketika menentang Eintracht Frankfurt pada aksi pembukaan Bundesliga. - REUTERS
Aksi Mane ketika menentang Eintracht Frankfurt pada aksi pembukaan Bundesliga. - REUTERS

Di media sosial, bintang Senegal itu mendapat pujian menggunung daripada pengikut, penyokong serta warganet sekalipun ada peminat Liverpool bagaikan terkilan dan meletakkan komen: "YNWA" merujuk kepada slogan terkenal The Reds "You'll Never Walk Alone".

Berita Harian X