Sabtu, 6 Ogos 2022 | 9:46am
Pengendali Manchester United Erik ten Hag (kiri) sedia bekerjasama dengan Cristiano Ronaldo (kanan). - Foto REUTERS
Pengendali Manchester United Erik ten Hag (kiri) sedia bekerjasama dengan Cristiano Ronaldo (kanan). - Foto REUTERS

Ten Hag lupakan insiden Ronaldo

MANCHESTER: Erik ten Hag berkata dia mahu melupakan insiden Cristiano Ronaldo meninggalkan Old Trafford dan mula bekerja dengan penyerang itu.

Ronaldo meninggalkan Old Trafford sebelum tamat aksi persahabatan menentang Rayo Vallecano Ahad lalu selepas bermain di babak pertama.

Pengendali baharu United itu menganggap tindakan Ronaldo tidak boleh diterima.

Tetapi ketika ditanya berkenaan kunjungan ke Brighton esok, Ten Hag bersedia melupakan insiden berkenaan.

"Saya rasa sudah cukup kita memperkatakan tentangnya. Saya kata ia tidak betul. Anda utarakannya, anda memperbetulkannya, dan lupakannya.

"Saya perlu jelaskan yang ramai pemain melakukan perkara sama tetapi tumpuan terarah kepada Cristiano, ia tidak betul. Dia sebahagian daripada mereka yang turut melakukannya.

"Saya amat gembira, kami mempunyai penyerang hebat, saya gembira dia di sini bersama skuad dan kami kekal dengan perancangan sedia ada.

"Saya berpuas hati dengan seluruh pasukan, kami bekerja dengan baik, budaya yang bagus dan Cristiano sedang berusaha keras," kata Ten Hag.

Dengan Anthony Martial cedera di bahagian hamstring dan tidak dapat beraksi esok, pintu terbuka buat Ronaldo untuk memulakan musim walaupun hanya bermain satu babak pada aksi pra-musim. - AGENSI

Berita Harian X