Sabtu, 6 Ogos 2022 | 8:57am
Romelu Lukaku adalah pemain terakhir yang didakwa terkena sumpahan jersi nombor sembilan Chelsea. - Foto AGENSI
Romelu Lukaku adalah pemain terakhir yang didakwa terkena sumpahan jersi nombor sembilan Chelsea. - Foto AGENSI

Nombor sembilan Chelsea ada sumpahan

LONDON: Thomas Tuchel mendakwa jersi nombor sembilan Chelsea bagaikan terkena sumpahan dan tidak ada pemain mahu menyentuhnya.

The Blues akan memulakan kempen Liga Perdana Inggeris bertemu Everton malam ini tanpa pemain yang menyarung jersi bernombor sembilan, yang biasa disarung penyerang utama.

Romelu Lukaku, yang dipinjamkan ke Inter Milan musim ini, adalah pemain terakhir memakai jersi berkenaan dan gagal memberikan impak apabila hanya meledak lapan gol Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Ketika era 19 tahun Roman Abramovich sebagai pemilik di Stamford Bridge, The Blues menandatangani tujuh penyerang ternama yang memakai nombor sembilan - kesemuanya tidak menyerlah.

Lukaku, Fernando Torres, Alvaro Morata, Gonzalo Higuain, Radamel Falcao, Hernan Crespo dan Mateja Kezman tiba di Stamford Bridge dengan reputasi memberangsangkan, tetapi menjadi mangsa sumpahan jersi berkenaan - seperti dipercayai pengendali dari Jerman itu.

Pemain baharu Chelsea Raheem Sterling memilih untuk memakai jersi nombor 17 walaupun jersi nombor sembilan ada kekosongan. - Foto AGENSI
Pemain baharu Chelsea Raheem Sterling memilih untuk memakai jersi nombor 17 walaupun jersi nombor sembilan ada kekosongan. - Foto AGENSI

"Ia terkena sumpahan, mereka beritahu saya ia disumpah. Kami tidak membiarkannya terbuka atas sebab taktikal, untuk pemain datang dan memakainya.

"Tiada sesiapa mahu memakainya, biasanya ada pemain yang mahu menukar nombor jersi mereka. Tetapi tidak ada sesiapa mahu menyentuhnya.

"Mereka yang sudah lama bersama kelab memberitahu saya, 'Dia memakai nombor sembilan dan tidak menjaringkan gol, dia juga memakai nombor sembilan dan turut tidak menjaringkan gol'.

"Saya mempercayai perkara tahyul, saya boleh faham mengapa ramai pemain tidak berani menyentuhnya dan memilih nombor lain," kata Tuchel.

Bekas pemain Manchester City, Raheem Sterling yang dibawa masuk menggantikan Lukaku, memilih untuk menyarung jersi bernombor 17. - AGENSI

Berita Harian X