LONDON: Arsenal memastikan permulaan buruk musim lalu tidak berulang apabila skuad kendalian Mikel Arteta itu menewaskan Crystal Palace 2-0 pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris edisi ke-30.
The Gunners tewas 2-0 di Brentford pada malam pembukaan liga musim lalu, yang menjadi titik tolak kepada permulaan kempen liga paling buruk dalam tempoh 67 tahun.
Bagaimanapun mereka meneruskan rentak cemerlang pra-musim apabila tandukan babak pertama Gabriel Martinelli dan gol sendiri Marc Guehi menebus kekalahan 3-0 di Selhurst Park pada April.
Arsenal tewas lima kali berturut-turut dalam 10 perlawanan terakhir musim lalu dan menyebabkan mereka terlepas kedudukan empat teratas liga buat tahun keenam berturut-turut.
Namun pengurusan kelab masih menaruh kepercayaan terhadap 'proses' sedang dilakukan Arteta dan menyokong penuh aktiviti perpindahan pada musim panas.
Ketibaan Gabriel Jesus memenuhi keperluan seorang penyerang utama dan pemain Brazil itu hampir membuka jaringan hanya selepas empat minit.
Jesus membelah pertahahan Palace dan selepas percubaan awalnya ditampan, Martinelli membuat tindakan susulan tetapi tersasar.
Seorang lagi pemain baharu Arsenal, Oleksandr Zinchenko menanduk bola sepakan sudut melintasi pintu gawang dan Martinelli menanduk masuk bola menewaskan Vicente Guaita.
Palace mengharungi pra-musim bermasalah apabila beberapa tonggaknya tidak dapat dibawa ke jelajah Australia kerana status vaksinasi mereka.
Palace cuba bangkit di babak kedua, namun gagal mendapatkan gol penyamaan. Sebaliknya Arsenal menambah jaringan apabila hantaran Bukayo Saka yang cuba ditanduk Guehi menerjah gawangnya sendiri. - AFP