Isnin, 4 Julai 2022 | 2:47pm
Pemain Terengganu FC, Mohd Faisal Halim meraikan jaringan gol sambil Penjaga gol Sri Pahang FC Mamadou Samassa (jersi biru) tidak berpuas hati terhadap jaringan penalti pemain tersebut pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/Ghazali Kori
Pemain Terengganu FC, Mohd Faisal Halim meraikan jaringan gol sambil Penjaga gol Sri Pahang FC Mamadou Samassa (jersi biru) tidak berpuas hati terhadap jaringan penalti pemain tersebut pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/Ghazali Kori

Faisal buat Samassa mengamuk

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) berjaya meraih tiga mata berharga di laman sendiri selepas menewaskan pasukan jiran, Sri Pahang 2-1, malam tadi.

Namun, di sebalik kejayaan TFC merekodkan kemenangan keempat mereka dalam Liga Super musim ini, terdapat insiden yang menjadi perhatian di media sosial.

Insiden itu berlaku selepas Faisal Abdul Halim meledak gol kedua TFC dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-80.

Pemain kebangsaan itu dilihat meraikan jaringan dengan menjatuhkan badan di depan gawang Sri Pahang seolah-oleh meniru aksi penjaga gol Tok Gajah, Mamadou Samassa.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan Samassa yang dilihat meluru ke arah Faisal, namun beberapa pemain TFC dan pengadil perlawanan sempat menahan penjaga gol tinggi lampai itu.

Menerusi video yang tersebar di media sosial, Faisal bagaimanapun terus meraikan jaringannya dan seakan tiada apa-apa yang berlaku.

Sebelum itu, Samassa berjaya menyelamatkan sepakan penalti pertama yang dilakukan Faisal, namun pengadil memutuskan sepakan penalti diambil semula selepas penjaga gol Sri Pahang dikesan keluar lebih awal dari posisinya.

Sepakan kedua berjaya disempurnakan dengan baik oleh Faisal sebelum meraikan jaringan itu dengan sambutan kontroversi.

Berita Harian X