Jumaat, 1 Julai 2022 | 6:10pm
Pemain Kedah meraikan kemenangan menewaskan Visakha 5-1 pada aksi Kumpulan G Piala AFC. - FB Kedah FC
Pemain Kedah meraikan kemenangan menewaskan Visakha 5-1 pada aksi Kumpulan G Piala AFC. - FB Kedah FC

Kejayaan JDT, Kedah, KL City bukti Liga M berkualiti

KUALA LUMPUR: Kejayaan tiga kelab tempatan layak ke pusingan kalah mati kejohanan kelolaan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sesuatu yang membanggakan, kata Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan.

Beliau berkata pencapaian Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Kuala Lumpur (KL) City FC serta Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Piala AFC membuktikan kualiti dimiliki mereka untuk bersaing bersama pasukan terbaik dari luar negara.

"Ini bukan sahaja dapat mengharumkan nama negara malah menaikkan profil Liga Malaysia (Liga M) dengan kemenangan yang diraih dalam saingan ACL dan Piala AFC akan menyumbang mata Malaysia bagi ranking pertandingan kelab AFC.

"Bagi MFL, kami amat menghargai komitmen dan kesungguhan dipamerkan oleh JDT, KDA FC dan KL City FC dalam menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa dan kami doakan agar kejayaan akan terus mengiringi mereka di peringkat seterusnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berharap kejayaan ketiga-tiga pasukan itu akan menjadi pendorong kepada kelab-kelab Liga M yang lain untuk memburu kejayaan sekali gus menyemarakkan lagi saingan liga tempatan musim ini dan pada masa hadapan.

JDT mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kali melangkah ke pusingan 16 terbaik ACL selepas menjuarai saingan Kumpulan I, April lalu.

Semalam, kejayaan sama turut dilakar KL City dan KDA dalam saingan Piala AFC apabila masing-masing melepasi saingan peringkat kumpulan dan mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir zon ASEAN.

KDA membuktikan kehebatan dengan muncul juara Kumpulan G di Bali, Indonesia manakala KL City memanfaatkan sepenuhnya aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras untuk muncul naib juara Kumpulan H.

"Saya bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada kelab JDT, KDA dan KL City atas kejayaan mereka dalam pertandingan anjuran AFC," kata Ab Ghani. - BERNAMA

Berita Harian X