Rabu, 29 Jun 2022 | 7:41am
Penyerang Liverpool, Takumi Minamino. - Foto AFP
Penyerang Liverpool, Takumi Minamino. - Foto AFP

Minamino pindah ke Monaco

LONDON: Penyerang Liverpool, Takumi Minamino melengkapkan perpindahan kekal ke kelab Perancis, AS Monaco dengan yuran sekitar 15.5 juta pound (RM83.04 juta), kata kedua-dua kelab semalam.

Pemain antarabangsa Jepun itu menandatangani kontrak empat tahun dengan pasukan Ligue 1 itu selepas dua setengah tahun di Liverpool selain setahun dipinjamkan ke Southampton.

Pemain berusia 27 tahun itu membuat 55 penampilan dan menjaringkan 14 gol dalam semua kejohanan ketika berada di Anfield.

Produk remaja Cerezo Osaka itu menghabiskan lima tahun di kelab liga utama Austria, Salzburg sebelum berhijrah ke England.

"Dengan budaya kemenangan dimilikinya, kebolehannya bermain di pelbagai posisi di padang dan status sebagai pemain utama bersama pasukan kebangsaan, kami yakin bahawa Takumi akan menyumbang kepada pembangunan pemain muda kami," kata pengarah sukan Monaco, Paul Mitchell.

AS Monaco menamatkan Ligue 1 di tangga ketiga musim lalu, memberikan mereka kelayakan ke Liga Juara-Juara, kejohanan Minamino bermain sebelum ini bersama Liverpool dan Salzburg. - REUTERS

Berita Harian X