Isnin, 27 Jun 2022 | 9:46pm
Jordi sah akan perkuat JDT musim ini.
Jordi sah akan perkuat JDT musim ini.

Jordi perkuat JDT, Cools musim depan

JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan akan mengikat Jordi Amat bagi menguatkan skuad Harimau Selatan mengharungi kempen Liga Malaysia, musim ini.

Tunku Ismail yang juga Pemangku Raja Johor berkata, Jordi akan mengisi kuota ASEAN namun perlu menunggu pihak kerajaan Indonesia mengeluarkan pasport untuk pemain yang pernah menyertai kelab dari Sepanyol seperti Espanyol, Rayo Vallecano dan Real Betis selain kelab Liga Inggeris, Swansea.

"Jordi akan jadi sebahagian keluarga JDT dan jika semua proses mengenai pasportnya, Insya-Allah dia akan menyertai JDT dalam masa terdekat. Apa yang saya tahu ibunya berasal dari Makasar, Indonesia.

"Adalah satu kerugian jika Indonesia tidak mengambilnya untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan kerana dia pemain yang berpengalaman kerana beraksi lebih 100 perlawanan kompetitif di Eropah terutama di Sepanyol dan England.

"Apapun kita tunggu sahaja proses berkenaan dan berharap dia akan menyertai JDT secepat mungkin," kata Tunku Ismail pada majlis perjumpaan bersama penyokong JDT di bilik sidang media Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Tunku Ismail juga mengesahkan pemain baharu JDT, Daniel Ting sudah mengambil vaksin sekali gus menafikan khabar angin pemain itu enggan mengambil vaksin.

Menurutnya, langkah mengambil Daniel adalah untuk memberi saingan di posisi bek kiri yang sekarang ini milik Corbin Ong.

"Saya mahu posisi bek kiri ada saingan dan ketika ini Corbin beraksi di posisi berkenaan dan saya tidak mahu dia terlalu selesa malah jika berlaku kepada Corbin sudah tentu ada pengganti yang mampu mengalas tugas di posisi bek kiri," katanya.

Tunku Ismail juga mengulas berhubung status pemain warisan, Dion Cools dengan menegaskan JDT belum ada perancangan untuk mendapatkan khidmatnya kerana dia masih ada kontrak dengan kelab yang diwakilinya.

"Jika kami mahu mendapatkan Dions menyertai JDT, kami perlu membayar pampasan dengan jumlah yang tinggi. Jadi biar dia terus bermain bersama kelabnya dan kita tunggu sehingga tamat kontrak. Kita tunggu musim depan dia akan bersama JDT," katanya.

Berita Harian X