Ahad, 26 Jun 2022 | 10:32am
Pemain England, Jude Bellingham ketika aksi menentang Hungary pada Liga Negara-Negara dekat Puskas Arena di Budapest, Hungary. - EPA
Pemain England, Jude Bellingham ketika aksi menentang Hungary pada Liga Negara-Negara dekat Puskas Arena di Budapest, Hungary. - EPA

Klopp sudah mulakan usaha dapatkan Bellingham

LONDON: Liverpool yakin perpindahan Kalvin Phillips ke Manchester City memberikan mereka peluang cerah untuk mendapatkan Jude Bellingham.

Bagaimanapun masih ada pertarungan sengit antara dua kelab utama Liga Perdana Inggeris (EPL) itu untuk mendapatkan pemain tengah berkenaan musim panas depan.

Bos Liverpool, Jurgen Klopp adalah peminat bintang Borussia Dortmund itu dan sudah menyatakan bahawa pemain berkenaan sebagai sasaran utama dalam tempoh 12 bulan.

Namun pemain berusia 18 tahun itu juga diminati Pep Guardiola dan berharap persahabatan antara Bellingham dengan Erling Haaland boleh membantunya mendapatkan penyerang berbakat itu.

Pemain terbabit rapat ketika beraksi di Dortmund dan pasukan juara itu berharap Haaland boleh memujuknya menyertai pasukan di Stadium Etihad.

Keyakinan bertambah di Anfield selepas Man City menandatangani Phillips, bermakna kini skuad Reds adalah pilihan untuk mendapatkan Bellingham.

Klopp sentiasa melakukan perancangan tersendiri musim panas ini dan berjaya mendapatkan pemain Benfica, Darwin Nunez bagi menggantikan Sadio Mane.

Perancangan musim depan sudah dilakukan dengan Bellingham dan seorang pemain tengah menjadi keutamaan kelab berkenaan.

Sementara itu, Dortmund menegaskan bintang England itu tidak akan dijual musim panas ini. - AGENSI

Berita Harian X