Khamis, 23 Jun 2022 | 8:10am

Salah sedih pemergian Mane

LONDON: Mohamed Salah memuatnaik kenyataan menyentuh hati atas sumbangan Sadio Mane selepas pemain itu mengesahkan perpindahan ke Bayern Munich.

Bintang Senegal berusia 30 tahun itu melengkapkan perpindahan ke kelab juara Jerman berkenaan semalam.

Dia menandatangani kontrak tiga tahun di Allianz Arena, tempat dia akan membantu pasukan dari Bavaria itu meneruskan dominasi dalam Bundesliga.

Bagaimanapun Mane meninggalkan rakan serangan dan kawan karibnya, Salah yang sedih dengan pemergiannya.

Hero Mesir itu yang kini sedang bgercuti, memuatnaik gambar mereka bersama di Twitter termasuk ketika meraikan Piala FA bulan lalu.

Dia menuis: "Ia perjalanan yang agak panjang!

"Terima kasih atas semua tempoh yang bagus dan saya doakan awak yang terbaik dalam pengembaraan baharu!

"Kami semua akan merindui awak."

Pasangan berkenaan melalui kejayaan bersama di Anfield dengan Salah menyertai Liverpool pada 2017, setahun selepas Mane tiba dari Southampton.

Dalam tempoh lima tahun itu, mereka menang Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga, Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab dan Piala Super. - AGENSI

Berita Harian X