Jumaat, 17 Jun 2022 | 10:52am
Manchester City diramal akan menang gelaran EPL musim depan. - REUTERS
Manchester City diramal akan menang gelaran EPL musim depan. - REUTERS

City diramal kekal mahkota EPL musim depan

LONDON: Komputer super sudah meramalkan bagaimana kesudahan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada penamat musim depan.

Jadual untuk aksi liga utama England itu sudah dikeluarkan semalam ketika semua 20 kelab mengetahui perlawanan mereka pada kempen 2022/23.

Ketika ramai pemain baharu sudah ditandatangani oleh kelab-kelab utama, kajian daripada syarikat pertaruhan SBK merumuskan bahawa Manchester City akan mengekalkan mahkota EPL.

Komputer super juga percaya kelompok empat teratas akan sama seperti musim lalu dengan Liverpool, Chelsea dan Tottenham akan menghuni tempat ke Liga Juara-Juara.

Ramalan ini akan menjadi sesuatu yang lebih mengecewakan buat penyokong Manchester United dan jurulatih baharu mereka, Erik ten Hag.

Pengendali dari Belanda itu diberikan tugas membawa Red Devils kembali ke Liga Juara-Juara - jadi ramalan mereka berada di tangga kelima bukanlah sesuatu yang mahu dilihat penyokong kelab dari Old Trafford itu.

Arsenal yang akan menentang Palace di tempat lawan dalam perlawanan pertama, dijangka akan jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam ketika mereka bersedia kembali ke bola sepak Eropah menerusi Liga Europa.

Newcastle dijangka akan bergerak ke kelompok tujuh teratas selepas pengambilalihan oleh Arab Saudi pada pertengahan musim 2021/22.

West Ham, Leicester dan Aston Villa dijangka akan menghuni antara 10 tempat teratas.

Tiga pasukan baharu naik taraf - Fulham, Nottingham Forest dan Bournemouth - diramalkan menjadi 'pilihan' untuk kembali ke Liga Kejuaraan. - AGENSI

Berita Harian X