Jumaat, 10 Jun 2022 | 9:49am
Penyerang Liverpool Sadio Mane hampir pasti meninggalkan Anfield musim panas ini selepas enam tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu. - Foto AFP
Penyerang Liverpool Sadio Mane hampir pasti meninggalkan Anfield musim panas ini selepas enam tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu. - Foto AFP

Liverpool harap tawaran ketiga Bayern

LONDON: Liverpool mengharapkan Bayern Munich membuat bidaan ketiga bagi memenuhi anggaran mereka sekitar 42 juta pound (RM230.6 juta) untuk Sadio Mane.

Nilai itu mampu membantu Liverpool mendapatkan pemain Benfica Darwin Nunez yang bakal memecahkan rekod perpindahan The Reds pada harga 85 juta pound (RM467 juta).

Liverpool mengesahkan yang Divock Origi, yang akan menyertai AC Milan, Ben Woodburn, Loris Karius dan Sheyi Ojo akan meninggalkan Anfield bulan ini.

The Reds sebelum ini menolak dua tawaran juara Bundesliga itu untuk Mane, yang terakhir pada harga 30 juta pound (RM164.8 juta).

Bagaimanapun nilai itu datang dengan syarat Mane berjaya memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah serta tiga anugerah Ballon d'Or di Allianz Arena.

Juara Jerman itu cuba mendapatkan 43 juta pound (RM236.2 juta) daripada Barcelona untuk Robert Lewandowski dan Liverpool percaya ia harga yang sesuai buat Mane juga.

Rekod perpindahan tertinggi Liverpool ketika ini ialah untuk Virgil van Dijk pada 75 juta pound (RM411.9 juta).

Nunez meledak 34 gol dalam 41 perlawanan untuk Benfica musim lalu. Dia diharapkan mampu mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Mane. - AGENSI

Berita Harian X