Khamis, 19 Mei 2022 | 8:08pm
Gambar fail - Pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli.
Gambar fail - Pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli.

'Kita harap benda ini janganlah berlaku'

KUALA LUMPUR: Sukan bola sepak Malaysia boleh rosak jika benar saingan Liga Malaysia (Liga M) dikawal oleh individu tertentu seperti didakwa Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pemerhati sukan tempatan, Dr Pekan Ramli menjelaskan perkara berkenaan harus dihentikan sekiranya benar ia wujud kerana budaya tidak sihat itu boleh memusnahkan kemajuan sukan nombor satu di negara ini.

Beliau yang juga Ketua Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, kesan yang akan dialami dari masalah itu turut akan mempengaruhi perkembangan pasukan bola sepak kebangsaan.

"Kita harap benda ini janganlah berlaku, kalau nak maju kita sama-sama maju. Kalau kita nak jadi juara, biarlah jadi juara yang lebih dihormati.

"Tapi kalau benar dakwaan itu, maksudnya kita nampak satu implikasi negatif yang akan berlaku, hanya menunggu masa sahaja.

"Ia akan merosakkan bola sepak kita secara keseluruhan, jadi kita akan nampak banyak impak negatif kalau betul ada individu yang mengawal semua.

"Kita harap benda itu tak berlaku dan kalau berlaku kita minta supaya ia dihentikan. Jangan banyak berlakon, jangan banyak berdrama kerana yang penting sekali kita bersama majukan bola sepak kita," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Kelmarin, Muhammad Sanusi dilaporkan mendakwa wujudnya individu atau yang beliau gelar sebagai 'tokong' mengawal Liga M dengan ia dianggap akan menjejaskan mana-mana pasukan untuk bermain secara adil semasa permainan.

Selain itu, Pekan menjelaskan semua pasukan Liga M perlu saling membantu antara satu sama lain bagi memastikan kemajuan yang diidamkan dalam arena bola sepak negara dapat direalisasikan.

"Kalau apa yang dimaksudkan (Muhammad Sanusi) itu memang wujud, ia satu perkembangan yang tidak sihat untuk kemajuan bola sepak negara kita.

"Kalau nak maju kita kena bergerak seiring, semua pasukan kena bantu pasukan lain untuk naik. Kalau kita saja hebat, 15 tahun jadi juara pun, tapi bola sepak kita ke laut, pasukan kebangsaan kita ke laut, nak buat apa. Kita nak liga kita kompetitif," katanya.

Berita Harian X