Ahad, 15 Mei 2022 | 9:45am
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski bersama trofi Penjaring Terbanyak Bundesliga selepas aksi menentang VfL Wolfsburg. - AFP
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski bersama trofi Penjaring Terbanyak Bundesliga selepas aksi menentang VfL Wolfsburg. - AFP

Lewandowski sah mahu tinggalkan Bayern

BERLIN: Robert Lewandowski mengesahkan hari ini dia mahu meninggalkan Bayern Munich musim ini di sebalik Barcelona dikatakan bersedia menawarkan bintang penyerang berusia 33 tahun itu kontrak selama tiga tahun.

Lewandowki mencipta gol ke-35 dalam liga musim ini ketika seri 2-2 berdepan Wolfsburg pada minggu terakhir aksi Bundesliga sebelum mengeluarkan kenyataan mengejutkan itu.

"Ia mungkin perlawanan terakhir saya bersama Bayern. Saya tidak boleh katakan 100 peratus, tetapi ia mungkin. Kami perlu mencari penyelesaian terbaik buat kelab dan saya," katanya secara langsung menerusi Viaplay.

Lewandowski mengesahkan kepada Sky bahawa dia sudah memberitahu pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic bahawa dia tidak mahu menyambung kontraknya yang akan tamat pada 2023 dan "apabila ada tawaran, kami perlu memikirkannya".

"Saya masih ada kontrak satu tahun, tapi kami perlu mencari penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak," kata bintang Poland itu.

Penyerang Bayern Munich Robert Lewandowski (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang VFL Wolfsburg. - REUTERS
Penyerang Bayern Munich Robert Lewandowski (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang VFL Wolfsburg. - REUTERS

Pemenang dua kali berturut-turut Pemain Lelaki Terbaik FIFA itu sudah menang semua gelaran sejak menyertai Bayern pada 2014, termasuk lapan gelaran Bundesliga.

Secara keseluruhan dia menang 10 gelaran liga Jerman termasuk dua bersama bekas kelabnya, Dortmund. Dia juga merangkul Liga Juara-Juara pada 2020. - AFP

Berita Harian X