Jumaat, 13 Mei 2022 | 8:31am
Messi dianggarkan menerima pendapatan RM573 dalam tempoh 12 bulan yang berakhir 1 Mei lalu.
Messi dianggarkan menerima pendapatan RM573 dalam tempoh 12 bulan yang berakhir 1 Mei lalu.

Messi atlet paling kaya di dunia

LONDON: Majalah perniagaan Forbes mengumumkan Lionel Messi sebagai atlet dengan pendapatan tertinggi pada tahun lalu sekali gus memintas bintang NBA, LeBron James serta penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo.

Bintang Argentina dan Paris Saint Germain (PSG) itu dianggarkan menerima RM573 juta termasuklah menerusi penajaan bernilai RM241 juta sepanjang tempoh 12 bulan berakhir 1 Mei tahun ini untuk mengungguli carta selepas menduduki tangga kedua pada tahun lalu di belakang Conor McGregor.

McGregor tercicir daripada senarai 10 atlet terkaya selepas tidak bertarung sejak kekalahan di tangan Dustin Poirier pada musim panas lalu dan selain jaguh tempur itu, Sir Lewis Hamilton yang menduduki tangga kelapan tahun lalu turut tiada dalam senarai pada tahun ini.

Bintang NBA, LeBron James. - Foto AP
Bintang NBA, LeBron James. - Foto AP

Pemain Los Angeles Lakers, James berada di tangga kedua selepas membawa pulang RM530 juta manakala Ronaldo yang menerima RM503 juta berada di tangga ketiga.

Rakan sepasukan Messi, Neymar yang menerima RM418 juta serta juara NBA sebanyak tiga kali, Stephen Curry yang memperoleh RM407 juta bersama Golden State Warriors melengkapkan senarai lima teratas.

Pemain NFL, Tom Brady. - Getty Image
Pemain NFL, Tom Brady. - Getty Image

Tempat keenam menjadi milik Kevin Durant dengan RM401 juta manakala legenda tenis, Roger Federer yang beraksi dalam lima kejohanan pada 2021 sebelum menjalani pembedahan lutut memperoleh RM398 juta.

Tiga slot terakhir menyaksikan tempat kelapan diisi petinju dari Mexico, Canelo Alvarez yang mengutip RM395 juta diikuti juara Super Bowl, Tom Brady (RM368 juta) serta Pemain Paling Bernilai (MVP) NBA, Giannis Antetokounmpo (RM355 juta). -Agensi

Senarai 10 atlet terkaya menurut Forbes
1. Lionel Messi - RM573 juta
2. LeBron James - RM530 juta
3. Cristiano Ronaldo - RM503 juta
4. Neymar - RM418 juta
5. Stephen Curry - RM407 juta
6. Kevin Durant - RM401 juta
7. Roger Federer - RM398 juta
8. Canelo Alvarez - RM395 juta
9. Tom Brady - RM368 juta
10. Giannis Antetokounmpo - RM355 juta

Berita Harian X