Rabu, 4 Mei 2022 | 2:11pm
Eintracht Frankfurt akan melayan kunjungan West Ham selepas menang 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di London minggu lalu. - Foto AGENSI
Eintracht Frankfurt akan melayan kunjungan West Ham selepas menang 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di London minggu lalu. - Foto AGENSI

Misi sukar West Ham, Rangers

PARIS: West Ham United dan Rangers masing-masing perlu mengatasi defisit perlawanan pertama menentang lawan-lawan dari Jerman esok sekiranya mahu mara ke final Liga Europa.

Leicester City pula akan bertandang ke Itali dengan harapan untuk menghalang Roma kendalian Jose Mourinho daripada mara ke final pertama Liga Konferens Eropah.

Eintracht Frankfurt akan melayan kunjungan West Ham selepas menang 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di London minggu lalu menerusi gol jaringan pemain pinjaman Borussia Dortmund Ansgar Knauff dan pemain tengah Jepun Daichi Kamada.

Selepas menyingkirkan Barcelona di suku akhir, mereka kini memburu final Eropah pertama sejak menewaskan Borussia Moenchengladbach ketika memenangi Pala UEFA pada tahun 1980.

"Ini adalah perlawanan paling penting musim ini buat kami. Kami mahu mara ke final," kata pemain tengah Switzerland Djibril Sow selepas Frankfurt tewas 2-0 di Bayer Leverkusen Isnin lalu.

West Ham yang menyingkirkan Sevilla dan Lyon dalam dua pusingan sebelum ini mensasarkan final Eropah pertama dalam tempoh 46 tahun, sejak tewas kepada Anderlecht di Piala Juara-Juara 1976.

The Hammers mengharungi musim memberangsangkan tetapi ia akan berakhir suram sekiranya mereka gagal menewaskan Frankfurt. Saingan Liga Perdana pula menyaksikan West Ham hanya mengutip satu mata dalam empat perlawanan terakhir dan hanya mampu mengejar untuk kedudukan ketujuh liga.

Jika berjaya mara, West Ham akan menjadi kelab Inggeris ketujuh mara ke final Piala UEFA atau Liga Europa sejak tahun 2000 dan berpeluang untuk merealisasikan pertembungan sesama kelab British di final.

Rangers, naib juara Piala UEFA 2008, melayan kunjungan RB Leipzig di Ibrox dengan misi mengatasi defisit 1-0 hasil kekalahan di Jerman dengan Angelino meledak gol tunggal permainan.

Usaha Leipzig memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah menerusi Bundesliga terbantut selepas dua kekalahan berturut-turut, tetapi ia akan menjadi pencapaian membanggakan buat Rangers sekiranya dapat menewaskan anak buah Domenisco Tedesco.

Jika Leipzig dan Frankfurt berjaya mara ke final di Seville pada 18 Mei nanti, ia akan menjadi final kelab-kelab Jerman pertama di pentas Eropah sejak Bayern Munich menewaskan Dortmund di Wembley pada final Liga Juara-Juara Eropah 2013.

Sementara itu Mourinho berharap dapat memenangi edisi sulung Liga Konferens Eropah bagi menambah koleksi Eropah sepanjang kariernya - dua Liga Juara-Juara, Piala UEFA dan Liga Europa.

Roma melayan kunjungan Leicester di Stadio Olimpico selepas seri 1-1 di England minggu lalu, apabila jaringan pembukaan Lorenzo Pellegrini diimbangi oleh gol sendiri di babak kedua. - AFP

Berita Harian X