Isnin, 18 April 2022 | 7:02am
Pemain tengah Bayern Munich Jamal Musiala (tengah) menjaringkan gol dalam aksi Bundesliga menentang Arminia Bielefeld di Bielefeld. - Foto AFP
Pemain tengah Bayern Munich Jamal Musiala (tengah) menjaringkan gol dalam aksi Bundesliga menentang Arminia Bielefeld di Bielefeld. - Foto AFP

Bayern hampiri gelaran Bundesliga

BERLIN: Bayern Munich berpeluang mengesahkan gelaran Bundesliga ke-10 berturut-turut mereka hujung minggu ini selepas menewaskan Arminia Bielefeld 3-0.

Jaringan sendiri pertahanan Bielefeld Jacob Laursen dan rembatan Serge Gnabry serta Jamal Musiala meletakkan Bayern dengan kelebihan sembilan mata di puncak Bundesliga.

Bayern kembali merakam kemenangan selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah susulan kekalahan 2-1 secara agregat di tangan Villarreal.

"Sukar bagi saya untuk menerimanya. Ia masih terngiang-ngiang dalam fikiran saya," kata pemain tengah Bayern Joshua Kimmich berkenaan kekecewaan di pentas Eropah itu.

Saingan Bundesliga masih berbaki empat perlawanan tetapi Bayern mampu mengesahkan kejuaraan sekiranya mereka menewaskan pesaing terdekat Borussia Dortmund Sabtu ini di Munich.

Sementara itu Dominik Szoboszlai meledak gol kemenangan lewat permainan untuk RB Leipzig menewaskan Bayer Leverkusen, dan memintas lawan itu untuk tangga ketiga liga.

Eintracht Frankfurt tewas 2-0 di Union Berlin tiga hari selepas mereka mengejutkan Barcelona 3-2 dalam saingan Liga Europa di Camp Nou Khamis lalu untuk mara ke separuh akhir.

"Jelas kami keletihan. Mereka mencuba segalanya tetapi kami tidak berada di posisi untuk menang di sini. Memang kami patut kalah," kata pengendali Frankfurt Oliver Glasner. - AFP

Berita Harian X