Khamis, 7 April 2022 | 5:45pm
Pemain Melaka United tidak dibayar gaji sejak tiga bulan lalu.
Pemain Melaka United tidak dibayar gaji sejak tiga bulan lalu.

KM arah MUFC bayar tunggakan tiga bulan gaji pemain

AYER KEROH: Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) perlu segera menyelesaikan isu tunggakan gaji yang terus menghantui pemain pasukan Hang Tuah itu sejak tiga bulan lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali, menegaskan kegagalan pihak kelab untuk melunaskan bayaran tunggakan berkenaan dijangka menyukarkan lagi pasukan kendalian ketua jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic itu untuk meningkatkan prestasi permainan pada masa depan.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka, berkata adalah wajar pihak pengurusan MUFC supaya melakukan sesuatu bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji berkenaan.

"Selaku Presiden MUSA, saya sudah berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Seri Justin Lim dan maklumkan pembayaran gaji itu perlu juga dibuat, meskipun secara peringkat.

"Saya tahu masalah gaji mungkin berlaku kerana ada gaji pemain terlalu tinggi, tetapi MUFC perlu bayar secara keseluruhan, tak bolehlah pilih-pilih pemain (untuk terima bayaran).

"Jika keadaan itu berlarutan (tunggakan), saya yakin ia boleh melemahkan dan menghilangkan semangat pemain. Kalau nak suruh mereka bermain di atas padang, mereka akan sekadar main `suka-suka' sahaja dan tidak bersemangat," katanya pada sidang media di pejabatnya di Seri Negeri, hari ini.

Sulaiman berkata, beliau juga tidak dimaklumkan mengenai punca tunggakan bayaran gaji pemain itu.

"Punca tunggakan itu kena tanya MUFC sendiri, saya memang tidak tahu apa punca sehingga terjadi lagi isu sama. Cuma yang saya tahu, masalah gaji ini bukan sahaja berlaku di Melaka, tetapi juga dalam beberapa kelab bola sepak lain di Malaysia," katanya.

Semalam, Vidakovic mendedahkan bahawa isu tunggakan gaji antara punca Melaka tumbang 1-0 di tangan Sabah FC pada aksi di Stadium Hang Jebat, Selasa lalu.

Malah, pengendali itu menegaskan, masalah terbabit jelas mengganggu fokus pemain dan menyebabkan pemain hilang motivasi sekali gus mengakibatkan aksi hambar daripada barisan anak buahnya.

Justeru, dia menggesa pengurusan supaya dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dengan kadar segera.

Berita Harian X