Rabu, 6 April 2022 | 3:04pm
Pemain Melaka United FC, Emmanuel Oti Essigba (tengah) melepaskan rembatan ke pintu gol Sabah FC pada Perlawanan Bola Sepak Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Hang Jebat dekat Krubong, malam tadi.
Pemain Melaka United FC, Emmanuel Oti Essigba (tengah) melepaskan rembatan ke pintu gol Sabah FC pada Perlawanan Bola Sepak Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Hang Jebat dekat Krubong, malam tadi.

Isu tunggakan gaji punca Melaka tumbang

MELAKA: Isu tunggakan gaji disifatkan menjadi punca Melaka United (MU) tumbang 1-0 di tangan Sabah FC pada aksi di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pengendalinya, Risto Vidakovic menegaskan masalah terbabit jelas mengganggu fokus pemain dan menyebabkan pemain hilang motivasi sekali gus mengakibatkan aksi 'lemau' daripada barisan anak buahnya.

Justeru, dia menggesa pengurusan supaya dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dengan kadar segera.

"Kalau dahulu saya sering marah pemain kerana lewat untuk menjalani latihan, dan hari ini saya sudah tahu mengapa dan saya cuba memahami keadaan mereka. Pemain sudah memberikan yang terbaik dan sedaya upaya mereka.

"Isu sangat penting (gaji) ini antara penyebab pemain-pemain tidak dapat memberikan fokus di padang. Masalah ini pertama kali saya hadapi untuk kesekian kali sepanjang saya berkecimpung dalam arena bola sepak.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku jika ingin melihat pasukan ini pergi lebih jauh. Pemain perlu ada motivasi dan motivasi datang dari perkara penting terutama gaji.

"Jika anda tidak mendapat apa yang anda perlukan (gaji) keadaan akan semakin sukar, ramai pemain menghadapi masalah sebegini, Jadi saya minta masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya.

Sebagai rekod, Melaka gagal meraih sebarang kemenangan selepas mengharungi tiga perlawanan dan hanya mengutip satu mata setakat ini.

Skuad terbabit akan meneruskan saingan Liga Super berdepan juara Piala Malaysia, KL City di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu ini.

Berita Harian X