Jumaat, 1 April 2022 | 6:24pm
Azrulazri (dua kanan) dan Izrin Nabil (tiga kanan) ketika sidang media Kejohanan Sirkit Bolasepak Pantai 2022 Terbuka Selangor di Kompleks Sukan SUK Selangor. FOTO STR/OWEE AH CHUN.
Azrulazri (dua kanan) dan Izrin Nabil (tiga kanan) ketika sidang media Kejohanan Sirkit Bolasepak Pantai 2022 Terbuka Selangor di Kompleks Sukan SUK Selangor. FOTO STR/OWEE AH CHUN.

Sirkit Terbuka Selangor pentas popularkan bola sepak pantai

SHAH ALAM: Penganjuran Kejohanan Sirkit Bolasepak Pantai 2022 Terbuka Selangor anjuran Kelab Kecergasan Titiwangsa dilihat sebagai permulaan yang baik dalam mengembangkan dan mempopularkan sukan berkenaan di negara ini.

Kejohanan yang bertemakan 'King of The Beach' itu akan berlangsung di Pantai Morib, Kuala Langat bermula bulan depan menerusi tiga sirkit saringan yang membabitkan 48 pasukan manakala satu sirkit akhir dijangka berlangsung pada Disember (16 pasukan).

Pengarah kejohanan, Azrulazri Mohd Sani berkata tema berkenaan dipilih berikutan perlawanan bola sepak pantai mempunyai liku perlawanan yang sukar berbanding bola sepak padang dan Pantai Morib dipilih kerana ia mempunyai fasiliti yang bertaraf kebangsaan.

"Objektif kejohanan ini adalah untuk meletakkan bola sepak pantai sebagai sukan yang digemari seperti mana sukan futsal naik dahulu.

"Kita menganggarkan 48 pasukan akan menyertai kejohanan ini dan setakat ini sudah 20 pasukan berdaftar. Kejohanan ini terbuka kepada semua pemain termasuk mereka pernah bermain untuk negara.

"Kita juga meletakkan syarat bagi pendaftaran pasukan yang mana kita mahu mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Ia kerana kita mahu pasukan yang bermain di kejohanan ini adalah pasukan yang berkualiti," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Izrin Nabil Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Futsal Wanita dan Bolasepak Pantai Selangor, Simon Lim Swee Teck dan penasihat kejohanan, Ismail Zakaria.

Azrulazri berkata, pasukan yang berminat menyertainya dikenakan yuran sebanyak RM1,650 dan akan bermain dalam tiga sirkit saringan serta satu sirkit akhir jika layak.

Katanya, kejohanan itu turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sehingga RM55,000.

Sementara itu, Izrin Nabil berkata, kejohanan berkenaan adalah permulaan kepada usaha mempopularkan sukan berkenaan bukan sahaja di Selangor tetapi di Malaysia.

"Ini salah satu usaha yang dibincangkan dalam komuniti kami dan hajat besar Tuanku Presiden (Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah) untuk memberi penekanan kepada usaha untuk mengembangkan bola sepak pantai dari pelbagai aspek termasuk kejurulatihan dan pengadilan.

"Kami berbesar hati kerana Kelab Kecergasan Titiwangsa sudi menjemput FAS sebagai rakan penganjur program ini dan kita harap ia permulaan yang baik dalam melihat potensi sukan ini," katanya.

Berita Harian X