Rabu, 23 March 2022 | 8:15pm
Subahan Kamal (empat, kiri) menerima replika kunci kenderaan utiliti sukan (SUV) daripada Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Datuk Seri Ben Yeoh (lima, kanan) pada Majlis Memperkenalkan Penaja Rasmi Automotif KHM di Bilik Pameran Jualan Peugeot Gleanmarie, hari ini.
Subahan Kamal (empat, kiri) menerima replika kunci kenderaan utiliti sukan (SUV) daripada Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Datuk Seri Ben Yeoh (lima, kanan) pada Majlis Memperkenalkan Penaja Rasmi Automotif KHM di Bilik Pameran Jualan Peugeot Gleanmarie, hari ini.

Bantuan TMJ diguna bayar gaji pemain - Subahan

SHAH ALAM: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan, bantuan kewangan yang diberikan pemilik pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada tahun 2017-2018 digunakan bagi menyelesaikan masalah gaji pasukan Selangor.

Subahan berkata bantuan itu diberikan Tunku Ismail selepas pihaknya mengalami kesukaran untuk mencari dana daripada pihak swasta dan bantuan daripada kerajaan negeri.

"Ketika saya memegang jawatan sebagai Presiden FAS pada tahun 2017-2018, saya tidak mendapat satu sen pun daripada kerajaan negeri, dan saya terpaksa mencari dana sendiri.

"Ketika itu, memang kami susah untuk mencari dana sendiri dan Alhamdulillah, Tunku Ismail bersetuju untuk membantu," katanya selepas sidang Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memperkenalkan Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd sebagai penaja rasmi di bilik pameran jualan Peugeot Glenmarie di sini hari ini.

Dalam pada itu, Subahan yang kini Presiden Petaling Jaya City FC, menyifatkan minat yang mendalam Tunku Ismail terhadap pembangunan bola sepak negara adalah 'satu dalam sejuta'.

"Tindakan Tunku Ismail memberikan idea dan bantuan untuk menukarkan rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil juga adalah bukti bahawa beliau sangat mengambil berat terhadap kemajuan bola sepak negara.

"Tidak semua orang boleh melakukan apa yang Tunku Ismail boleh buat dan saya yakin dengan penyediaan (padang Stadium Nasional) yang terbaru ini, dapat memajukan sukan yang digemari rakyat Malaysia ini," katanya.

Semalam, Subahan mengesahkan bahawa Tunku Ismail pernah menghulurkan bantuan kewangan kepada bekas pasukannya itu.

Beliau memberi maklum balas berhubung ciapan Twitter Tunku Ismail 21 Mac lalu mengenai bantuan kewangan kepada lima pasukan Liga Malaysia (Liga-M) termasuk Selangor. - BERNAMA

Berita Harian X