Selasa, 22 March 2022 | 1:02pm
Subahan (kiri) bersama TMJ ketika menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.
Subahan (kiri) bersama TMJ ketika menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

TMJ bantu zaman Subahan, bukan RMS

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan bantuan yang diberikan kepada Selangor adalah pada zaman pengurusan yang diterajui bekas Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal.

Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu turut mengakui pasukan The Red Giants ketika ini sudah mampu berdiri dengan sendiri sekali gus tidak perlu mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak.

"Saya memberi bantuan pada masa Dato Subahan dulu. Zaman Selangor masih hebat dan champion.

"Sekarang ni semenjak Raja Muda Selangor ambil alih dengan expert (pakar) bola sepak tanah air dan terima banyak bantuan duit daripada kerajaan maka mereka tak perlu bantuan.

"Syabas saya ucapkan," kata Tunku Ismail menerusi akaun Twitternya, semalam.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan pasukan itu tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan dari pasukan lain di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak Julai 2018.

Sebaliknya, Johan menjelaskan dana pasukan itu hanya diperoleh daripada penaja rasmi dan aktiviti komersial.

"Memandangkan ramai yang bertanya, saya ingin jelaskan bahawa di bawah kepimpinan Tunku RMS sejak Julai 2018, Selangor tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan dari pasukan lain. Dana kelab hanyalah daripada penaja rasmi dan aktiviti pengkomersialan sahaja," tulisnya di laman sosial miliknya.

Berita Harian X