Khamis, 10 March 2022 | 6:12pm
Perak FC janji selesai isu tunggakan gaji.
Perak FC janji selesai isu tunggakan gaji.

Perak FC komited selesai tunggakan gaji

KUALA LUMPUR: Walaupun berdepan beberapa isu terutama membabitkan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan, Perak FC tetap akan meneruskan penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pengurusan Perak FC dalam kenyataan menjelaskan pihaknya komited dalam usaha menyelesaikan isu semasa membabitkan skuad Bos Gaurus.

Katanya, pihak pengurusan masih berkomunikasi dengan pemain dan pasukan teknikal dengan semuanya mempunyai visi transformasi kelab yang sejajar walaupun terdapat khabar angin yang kurang enak didengar bermain di media sosial.

"Sebagai sebuah kelab, kami masih terus berwawasan untuk mengukuhkan Perak FC sebagai sebuah pasukan bola sepak dengan tadbir urus yang baik dan profesional serta berjaya di Malaysia.

"Kami (pihak pengurusan dan pemain) mencapai satu persetujuan bagi isu penyelesaian tunggakan gaji. Bagaimanapun, perkara ini adalah hanya untuk pengetahuan pihak dalaman sahaja buat masa ini," jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, spekulasi bermain di media sosial mendakwa Perak FC berdepan tunggakan gaji empat bulan dan dua bulan membabitkan pemain lama dan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah dilaporkan berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya menyelesaikan beban hutang termasuk yang ditinggalkan pengurusan terdahulu.

Berita Harian X