Ahad, 6 Februari 2022 | 8:30pm
Barisan pemain yang akan mengibarkan cabaran Tok Janggut Warriors Football Club (TJWFC) dalam saingan Liga M3 musim ini. STR/ Nor Amalina Alias
Barisan pemain yang akan mengibarkan cabaran Tok Janggut Warriors Football Club (TJWFC) dalam saingan Liga M3 musim ini. STR/ Nor Amalina Alias

Hashim, anak perkuat Tok Janggut Warriors

PASIR PUTEH: Legenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha dan anaknya, Aiman Shakir akan memperkuat jentera pasukan Tok Janggut Warriors Football Club (TJWFC) dalam saingan Liga M3 musim ini.

Hashim, 56, menggalas tugas selaku jurulatih manakala Aiman, 25, beraksi di bahagian pertahanan pasukan.

Selain kedua-dua individu berpengalaman itu, pasukan berkenaan turut diperkuat dengan kehadiran beberapa pemain senior termasuk Khairul Izuan Rosli, Nizad Ayub dan Syazwan Yusof.

Kehadiran mereka disahkan TJWFC dalam satu majlis memperkenalkan pemain, pengurusan dan penaja pasukan di Jeram Mengaji Agro Resort, di sini.

Pada majlis itu, seramai 36 termasuk 25 pemain dan selebihnya bahagian pengurusan TJWFC diperkenalkan bagi menghadapi saingan Liga M3.

Presiden TJWFC, Mohamad Yusri Ismail berkata, pasukan turut bertuah apabila menerima penajaan daripada beberapa syarikat termasuk didukung pemimpin berpengaruh iaitu Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail sebagai penasihat pasukan dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh sebagai penaung TJWFC.

"Ramuan ini membolehkan pasukan bersemangat memberi saingan dan kita sasar mara ke final saingan musim ini," katanya.

Berita Harian X