Jumaat, 4 Februari 2022 | 9:02pm
Manchester City dan Fulham akan berentap dalam pusingan keempat Piala FA Inggeris di Etihad malam esok waktu Malaysia. - Foto ihsan Youtube.
Manchester City dan Fulham akan berentap dalam pusingan keempat Piala FA Inggeris di Etihad malam esok waktu Malaysia. - Foto ihsan Youtube.

Fulham mampu kejutkan City aksi Piala FA

MANCHESTER: Manchester City kembali daripada rehat perlawanan antarabangsa dengan menyambut kunjungan kelab Liga Kejuaraan Fulham untuk aksi pusingan keempat Piala FA Inggeris malam esok waktu Malaysia.

City kendalian Pep Guardiola mengatasi Swindon Town 4-1 di pusingan ketiga sebelum ini, manakala Fulham menewaskan Bristol City 1-0.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dianggap tidak bermasalah untuk melepasi cabaran Fulham, namun ia tidak bermakna kelab divisyen dua itu tidak berpeluang melakar kejutan.

City masih kukuh di puncak EPL walaupun tercicir dua mata ketika bertemu Southampton pada aksi terakhir liga sebelum rehat perlawanan antarabangsa.

Jaringan awal Kyle Walker-Peters meletakkan Southampton di depan sebelum City menyamakan kedudukan menerusi Aymeric Laporte yang menamatkan deretan lapan kemenangan mereka dalam semua pertandingan.

City kini masih mendahului liga dengan kelebihan sembilan mata ke atas Liverpool yang bermain kurang satu perlawanan.

Gelaran EPL dan Piala Liga sudah menjadi lumrah buat Guardiola namun mereka hanya meraih satu kejuaraan Piala FA di bawah pengendali itu.

Fulham juga menyaksikan deretan kemenangan mereka berakhir selepas seri 1-1 sebelum rehat aksi antarabangsa, apabila Aleksandar Mitrovic membuka jaringan pada minit keenam ketika menentang Blackpool sebelum Josh Bowler menyamakan kedudukan di babak kedua.

Skuad kendalian Marco Silva berada di landasan terbaik untuk menamatkan Liga Kejuaraan di tangga teratas sekali gus kembali ke EPL selepas disingkirkan pada musim lalu. Mereka memulakan kempen divisyen dua dengan 23 gol dalam lima perlawanan pertama.

Fulham bakal diperkuat pemain pinjaman dari Liverpool, Neco Williams selepas Denis Odoi mengesahkan perpindahan ke Club Brugge.

Barisan kemungkinan Manchester City: Steffen; Walker, Stones, Ake, Cancelo; Gundogan, Fernandinho, Silva; Mahrez, Foden, Grealish

Barisan kemungkinan Fulham: Gazzaniga; Williams, Ream, Adarabioyo, Bryan; Reed, Cairney; Wilson, Carvalho, Kebano; Mitrovic.

- AGENSI

Berita Harian X