Jumaat, 28 Januari 2022 | 6:33pm
Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) dan Lim Teong Kim. - Foto NSTP
Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) dan Lim Teong Kim. - Foto NSTP

Siapa bohong?

KUALA LUMPUR: Siapa yang betul, siapa yang salah dalam 'perang mulut' antara bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim dengan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim?

Ini kerana Teong Kim menafikan dakwaan Tunku Ismail yang mendedahkan bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu meminta gaji sehingga RM374,000 untuk berkhidmat sebagai jurulatih pembangunan skuad Harimau Selatan.

"Maaf Tunku. Apa yang kamu kata tidak benar. Anda persoalkan kredibiliti dan kemampuan saya sebagai jurulatih. Saya cabar kamu berikan saya pasukan untuk dilatih," katanya menerusi komen di laman Instagram.

Namun, Tunku Ismail menyanggah maklum balas Teong Kim apabila menegaskan dia tidak perlu 'pusing cerita' memandangkan pasukan kewangan JDT tahu mengenai permintaan gajinya itu.

"Jangan nak temberang. Pasukan kewangan saya tahu berapa banyak yang kamu minta. Bila saya tanya kenapa mahal sangat, awak jawab jikalau saya mampu beli Lamborghini takkan gaji itu saya tak mampu.

"Itu apa yang awak cakap. Jadi jangan nak twist (pusing cerita)," kata Tunku Ismail.

Susulan komen itu, Teong Kim dilihat mempertahankan dirinya apabila mempersoalkan mengapa tiba-tiba namanya 'dipetik' susulan kegagalan skuad Harimau Malaya di pentas Piala AFF 2020, bulan lalu.

"Tidak benar. Saya tidak ingat bercakap dengan pasukan kewangan. Saya tahu dan ingat bercakap dengan Tunku. Dan apa kena mengena dengan kegagalan pasukan kebangsaan dengan saya?

"Saya nak tanya Tunku, adakah saya memohon untuk pasukan kebangsaan? Untuk makluman, (Pep) Guardiola dan (Thomas) Tuchel pun bermula daripada pasukan remaja, begitu juga ramai jurulatih di Eropah.

"Saya ada kelayakan lesen profesional Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA)," balas Teong Kim.

Tidak terhenti di situ, Tunku Ismail memberi penjelasan mengenai 'drama' terbabit menerusi akaun Twitternya apabila menyatakan dia hanya memberikan pandangan apabila ditanya mengenai potensi Teong Kim sebagai jurulatih skuad kebangsaan yang baharu.

"Berkenaan LTK (Lim Teong Kim), saya ditanya pendapat mengenai LTK sebagai calon jurulatih skuad kebangsaan yang baru. Jadi saya jawab dan memberi pendapat saya termasuk gaji yang diminta untuk menjadi jurulatih pembangunan JDT.

"Kalau LTK nak menafikan, saya ada saksi. Kalau nak bercerita mengenai lesen jurulatih, jurulatih kecergasan dan 'conditioning' JDT pun ada lesen pro UEFA," kata Tunku Ismail.

Berita Harian X