Sabtu, 22 Januari 2022 | 6:46pm
Jurulatih dari Bosnia Herzegovina, Risto Vidaković menggantikan Zainal Abidin sebagai pengendali baharu Melaka United FC. - Foto ihsan Facebook Melaka United.
Jurulatih dari Bosnia Herzegovina, Risto Vidaković menggantikan Zainal Abidin sebagai pengendali baharu Melaka United FC. - Foto ihsan Facebook Melaka United.

Risto Vidaković pembimbing baharu Melaka United

MELAKA: Jurulatih dari Bosnia Herzegovina yang berpengalaman membimbing beberapa kelab di Eropah dan Asia sebelum ini, Risto Vidaković dilantik sebagai jurulatih baharu Melaka United FC (MUFC), bagi menggantikan Zainal Abidin Hassan.

Perkembangan itu diumumkan Melaka United dalam satu kenyataan hari ini. Bagaimanapun tempoh lantikan tidak dinyatakan.

"Selamat menyertai kami di MUFC. Semoga dengan pengalaman yang dimiliki Risto Vidakovic bakal memantapkan lagi persiapan skuad Hang Tuah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini," kata kenyataan kelab berkenaan.

Mengikut kenyataan berkenaan, Vidaković, 53, sebelum ini pernah membimbing kelab Liga 1 Indonesia, Borneo FC serta beberapa kelab sekitar Eropah dan Asia, selain pernah bersama skuad kebangsaan Serbia selaku penolong jurulatih antara 2006 hingga 2007.

Antara kelab pernah mendapatkan khidmat beliau di Sepanyol adalah Murcia, Ecija Cadiz dan Betis B selain pernah membimbing kelab Honduras, Motagua; kelab Filipina, Ceres-Negros; kelab Maldives, Maziya sebelum menyertai Borneo FC.

Sepanjang bergelar jurulatih Melaka, beliau pernaha mencatat kejuaraan 'hat-trick' buat Ceres-Negros dalam saingan Liga Bolasepak Filipina pada 2017, 2018 dan 2019 selain membawa Maziya menjuarai Dhivehi Premier League 2020-21.

Melaka United turut merakamkan penghargaan kepada Zainal Abidin di atas segala jasa, keringat dan pengorbanan sepanjang mengemudi pasukan terbabit. Untuk rekod, beliau menyertai Melaka pada November 2018 menggantikan E Elavarasan selepas membimbing pasukan Pulau Pinang.

Sepanjang membimbing Melaka, beliau membawa pasukan melakar pencapaian terbaik setakat ini dalam saingan Liga Super iaitu di tempat keenam pada musim 2019.

Di bawah kendaliannya, beliau juga hampir melakar sejarah bola sepak Melaka membawa skuad Hijau Putih ke pentas akhir Piala Malaysia musim lalu, sebelum tewas kepada KL City FC pada separuh akhir sekali gus menyamai pencapaian 38 tahun lalu.

'Kami di Melaka United FC amat menghargai segala yang dicurahkan buat pasukan dan bola sepak negeri Melaka selama mengemudi skuad Hang Tuah. Kami juga mendoakan semoga beliau diberikan kesihatan yang baik, maju jaya dalam karier kejurulatihan bolasepak selepas ini dan dapat terus mencurahkan bakti buat bolasepak negara pada masa hadapan.

"Terima kasih Zainal Abidin Hassan. Jasa anda akan tetap kami kenang selamanya dan sehingga bertemu lagi," kata kenyataan berkenaan.

Berita Harian X