Sabtu, 22 Januari 2022 | 8:43am
Pengendali Tottenham Antonio Conte mahu kekal realistik walaupun berjaya meraih dua kemenangan pada saat akhir. - Foto AFP
Pengendali Tottenham Antonio Conte mahu kekal realistik walaupun berjaya meraih dua kemenangan pada saat akhir. - Foto AFP

Semangat saja tidak cukup buat Conte

LONDON: Pengendali Tottenham Antonio Conte memuji semangat juang anak buahnya tetapi berkata kelab masih perlu memperkuatkan skuadnya pada jendela perpindahan kali ini.

Spurs mempamerkan kebangkitan menakjubkan ketika menentang Leicester Rabu lalu, bangkit daripada ketinggalan 2-1 untuk menang 3-2 dalam masa kecederaan hasil dua gol jaringan pemain gantian Steven Bergwijn.

Sebelum itu mereka turut merakam kemenangan lewat permainan ke atas Watford, di mana Davinson Sanchez meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-96.

Spurs hanya satu mata di belakang West Ham dan bermain kurang tiga perlawanan berbanding penghuni tangga keempat itu, dan empat perlawanan kurang berbanding Chelsea yang berada di tangga ketiga dengan kelebihan lapan mata ke atas mereka.

Anak buah Conte berpeluang merapatkan jurang itu apabila bertemu Chelsea kendalian Thomas Tuchel di Stamford Bridge esok.

"Anda perlu tenang dan mengharungi satu demi satu perlawanan. Jangan lupa kami menang ke atas Watford pada saat akhir, menang ke atas Leicester juga pada minit terakhir, saya perlu realistik walaupun cukup gembira.

"Penting untuk menjadi realistik dan memahami ia akan menjadi amat sukar buat kami musim ini. Penting untuk bersaing dan membina asas yang kukuh. Saya tidak ubah pemikiran saya hanya kerana beberapa keputusan positif," kata Conte.

Tottenham masih belum melakukan pembelian pada jendela perpindahan bulan ini, dengan tawaran mereka ke atas pemain sayap Wolves Adama Traore ditolak. - AFP

Berita Harian X