Sabtu, 8 Januari 2022 | 10:47am
Bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski (tengah) bersaing dengan pemain Moenchengladbach, Nico Elvedi (kiri) dan Stefan Lainer ketika aksi Bundesliga Jerman di Munich, selatan Jerman. Bayern tewas 2-1. - Foto AFP.
Bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski (tengah) bersaing dengan pemain Moenchengladbach, Nico Elvedi (kiri) dan Stefan Lainer ketika aksi Bundesliga Jerman di Munich, selatan Jerman. Bayern tewas 2-1. - Foto AFP.

Moenchengladbach kejutkan Bayern

BERLIN: Bayern Munich yang dilanda COVID-19, tewas 2-1 kepada Borussia Moenchengladbach di laman sendiri dengan pendahulu Bundesliga itu terpaksa menurunkan barisan pemain simpanan selepas sembilan tonggaknya diuji positif virus berkenaan.

Robert Lewandowski meledak jaringan liga ke-20 musim ini untuk meletakkan Bayern di depan, tetapi Gladbach bangkit dengan dua gol dalam tempoh empat minit di babak pertama menerusi Florian Neuhaus dan Stefan Lainer.

"Gladbach bukan lawan kegemaran kami. Ia kekalahan yang pahit tetapi kami terpaksa menelannya. Kami mempunyai kualiti di atas padang dan kami tidak sepatutnya membazirkan penguasaan di kawasan lawan.

"Paling sukar sekali ialah apabila kami tidak memanfaatkan peluang," kata penyerang Bayern Thomas Mueller yang dua kali terlepas peluang menjaringkan gol penyamaan di babak kedua.

Bayern sebelum ini tewas 5-0 kepada Gladbach dalam saingan Piala Jerman Oktober lalu.

Bagaimanapun Bayern kekal di puncak Bundesliga dengan kelebihan sembilan mata, namun pesaing terdekat Borussia Dortmund berpeluang merapatkan jurang apabila mereka bertandang ke Eintracht Frankfurt hari ini.

Gladbach melonjak tiga anak tangga ke tangga ke-11, tetapi masih kekal dengan kelebihan lima mata di depan pasukan di tangga ketiga tercorot.

- AFP

Berita Harian X